Seperti yang kita tahu, anak sulung Putera Harry dan Meghan Markle tidak memiliki sebarang gelaran istimewa DiRaja dan hanya dikenali sebagai Master Archie Harrison Mountbatten-Windsor. Namun begitu dia akan mewarisi gelaran istimewa yang telah diberikan kepada ayahandanya, Putera Harry.
Sewaktu melangsungkan perkahwinan dengan Meghan Markle, Putera Harry dan isterinya itu telah dianugerahkan dengan tiga gelaran iaitu Duke dan Duchess of Sussex, Earl dan Countess of Dumbarton serta Baron dan Baroness Kilkeel. Selesa dengan gelaran Duke dan Duchess of Sussex, pasangan ini tidak menggunakan dua lagi gelaran yang dianugerahkan kepada mereka.
Gelaran Earl of Dumberton merupakan gelaran yang diwarisi yang mana Archie akan menggunakan gelaran tersebut, namun begitu Meghan dan Putera Harry tidak bersetuju dan tidak akan menggunakan gelaran tersebut untuk anak sulung mereka. Mengapa?
Hanya kerana gelaran Earl of Dumbarton memiliki perkataan ‘Dumb’ di dalamnya, yang bermaksud bodoh. Mereka bimbang nanti Archie membesar dan di usik oleh rakan sebaya dengan perkataan tersebut dan menjadikan dia tidak selesa. Dalam satu sumber DiRaja yang diberitahu kepada Telegraph, bukan hanya Meghan yang tidak bersetuju bahkan perkara itu disokong Harry, inilah sebabnya Archie hanya digelar Master dan bukannya Earl.
Untuk pengetahuan pembaca Remaja, gelaran Earl of Dumbarton ini sebenarnya sudah tidak digunakan dan pupus pada tahun 1794. Gelaran ini dihidupkan kembali oleh Ratu Elizabeth II sebagai hadiah kepada Putera Harry. Gelaran ini merupakan gelaran bangsawan Scottish merujuk kepada kawasan Dumbarton yang terletak di Dunbartonshire Barat, Scotland.
Sumber: Daily Mail, Cosmopolitan
+++ Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.