Kehamilan

“Ada Sebab….” – Kini Berbadan Dua, Shila Amzah Dedah Kenapa Khabar Baik Dirahsiakan

Share

Selepas hampir lima bulan bergelar pasangan suami isteri, Shila Amzah dan suaminya, Ubai MZ bakal menjadi ibu bapa kepada cahaya mata pertama mereka.

Mereka berkongsi berita gembira ini melalui hantaran di laman Instagram malam tadi.

ARTIKEL BERKAITAN: “Hargai Siapa Masih Di Depan Kita..” Kasih Shila Amzah Kepada Arwah ‘Mak’ Ibarat Dengan Ibu Kandung Sendiri

Shila, atau lebih dikenali sebagai Nurshahila Amir Hamzah, menyatakan bahawa mereka tidak bercadang untuk menyembunyikan kehamilan ini, tetapi ingin memastikan bahawa proses kehamilan berjalan dengan lancar sebelum berkongsi berita baik.

“Ada sebab kenapa kami baru beritahu semua orang untuk memastikan tempoh kehamilan ini berjalan lancar.

“Saya nak pastikan proses awal kehamilan berjalan lancar terlebih dulu. Terima kasih kepada yang mendoakan kami sebelum ini.

“Doakan agar kandungan ini selamat dan dipermudahkan segala-galanya,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, penyanyi Patah Seribu tersebut tidak memberikan maklumat yang terlalu terperinci mengenai kehamilannya, termasuk usia kandungan pada masa ini.

Ubai atau nama sebenarnya, Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli, juga berkongsi pengalaman hidup mereka sepanjang tahun lalu melalui hantaran yang sama.

Mereka mengungkapkan bahawa tahun 2023 penuh dengan peristiwa manis dan sedih yang banyak memberi pengajaran kepada mereka berdua, termasuk keputusan untuk berkahwin.

“2023 meninggalkan peristiwa manis dan sedih yang banyak mengajar kami berdua. Tahun ini juga kami mengambil keputusan berkahwin.

“Tahun lepas juga arwah adik pergi sebelum majlis pertunangan kami, diikuti pula pemergian arwah mak beberapa hari sebelum kami bernikah.

“Selesai cerita kami pada 2023 dan 2024 ini kami ingin membukanya dengan satu perkhabaran,” kata Ubai.

Video yang dimuat naik kira-kira tiga jam lalu telah mendapat lebih dari 400,000 tontonan, dengan pengikut memberikan doa dan ucapan tahniah kepada mereka.

Pada 5 Ogos sebelumnya, Shila dan Ubai sah bergelar suami isteri dalam majlis pernikahan di Boathouse Ampang, setelah sebelumnya melangsungkan majlis pertunangan pada 27 Mei.

Sebelum ini, Shila pernah berkahwin dengan Haris Idraki Elias pada April 2018, tetapi perkahwinan tersebut tidak berpanjangan dan berakhir dengan perceraian pada Februari 2022.

Dari perkahwinan tersebut, Shila dikurniakan seorang anak lelaki bernama Seth Uwais, yang kini berusia 5 tahun.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

KREDIT ARTIKEL/GAMBAR: BH, Instagram Shila Amzah

Published by
Adriana Syaurah