Situasi tegang yang terpaksa dilalui oleh rakyat Malaysia sejak kebelakangan ini ibarat menyaksikan bom jangka yang mampu meletup pada bila-bila masa.
Episod kekecewaan disusuli episod kedukaan terpaksa dilalui oleh rakyat. Kami punya kesabaran, kami punya keprihatinan. Kami tidak mengharapkan pelangi muncul tanpa hujan di siang hari. Kami tahu kemelut yang dilalui sekarang adalah ujian getir buat semua pihak dan semua orang wajib menjalankan tanggungjawab masing-masing.
Akan tetapi, kami juga tidak bodoh untuk menganalisa sendiri kelemahan yang dipamerkan oleh sesetengah golongan pemimpin di negara kita.
Adalah menjadi tanggungjawab sebagai seorang pemimpin untuk sentiasa mengutamakan nasib dan hala tuju rakyat apabila keseluruhan penduduk sesebuah negara itu berdepan isu yang sama.
Ya, musim pandemik mungkin menggugat kestabolan emosi semua. Semua orang sekaran terdesak bagi memastikan kesejahteraan dan kelestarian nyawa diri sendiri dan ahli keluarga terjamin. Itu adalah refleks lumrah. Setiap kali kita diuji, maka terpamerlah keinginan survival sang manusia.
Begitupun, emosi juga adalah cerminan kepada realiti yang sedang rakyat hadapi. Jika tiada angin, masakan pokok mampu bergoyang. Jika tiada isu yang menyentuh nadi amarah rakyat Malaysia, masakan puluhan ribu rakyat mengutarakan ketidakpuas hatian mereka di media sosial pada setiap hari tanpa gagal sehingga tercetusnya tanda pagar – ironically – #KerajaanGagal.
Apa lagi yang perlu dilakukan oleh rakyat agar suara mereka didengari (dan diambil serius)?
*
*
Kita semakin kekurangan ruang outlet untuk mengadu melainkan kepada Tuhan.
Buat masyarakat beragama Islam, mereka percaya senjata terkuat apabila berdepan dengan golongan zalim adalah doa. Namun, adakah doa berbaur ‘luahan perasaan negatif’ terhadap para pemimpin ini dibenarkan?
Nabi Muhammad SAW bersabda dalam Hadis Bukhari dan Muslim, maksudnya;
“Takutlah kamu terhadap doa orang yang dizalimi kerana sesungguhnya tiada antara doa itu dengan Allah sebarang dinding.” (1)
Tindakan untuk berdoa agar golongan yang menzalami orang lain ini dijauhkan daripada kita juga telah disebut melalui firman Allah SWT dalam surah al-Nisa, ayat 148 yang bermaksud:
“Allah tidak suka berterangan menyebut kejahatan melainkan daripada orang yang dizalimi..” (2)
Jelas Ibnu Abbas menurut Ibnu Kathir, ayat tersebut membawa maksud Allah tidak suka seseorang itu mendoakan keburukan ke atas sesiapa melainkan dia dizalimi. Doa tersebut adalah satu kelonggaran yang diberikanNya.
Al-Sa’di pula pernah berkata bahawa hukum orang yang dizalimi untuk mengadu perihalnya dan menyebut secara terang-terangan kejahatan orang zalim tanpa menambah pembohongan atau berlebih-lebihan mengatasi kadar kezaliman ke atas dirinya adalah harus. (3)
Diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Abdullah bin Amru RA, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
“Sesungguhnya pemimpin yang adil di sisi Allah nanti akan berada di atas mimbar daripada cahaya, mereka duduk di sebelah kanan Tuhan Yang Maha Pengasih dan sedangkan kedua tangan Allah itu adalah kanan semua orang-orang yang berlaku adil dalam hukum penilaian mereka, adil dalam keluarga dan adil dalam melaksanakan tugas yang dibebankan kepada mereka.” (4)
Betapa mulianya pemimpin yang adil di sisiNya apabila mereka akan ditempatkan di kedudukan yang sangat dekat dengan Allah kelak di akhirat.
*
Akhir kata, penulis percaya rakyat tidak mengharapkan pun seorang pemimpin itu untuk sempurna dalam setiap tindak-tanduknya. Pemimpin juga adalah manusia biasa yang punya banyak kelemahan.
Namun, kewibawaan seorang pemimpin itu haruslah setanding dengan posisi yang didudukinya itu. Sedangkan kerusi pun boleh terbalik, apatah lagi kedudukan seorang pemimpin yang goyah dek kerana tipisnya integriti.
Pandanglah sensitiviti 37 juta orang rakyat Malaysia yang semakin hari semakin menjauhkan diri daripada punya rasa hormat kepada kalian. Cerminkanlah semula pemilihan kata-kata, kajilah semula bahasa tubuh semasa berucap, perhaluslah strategi yang dicanang.
Mata dan telinga 37 juta orang ini sedang mengikut rapat tindakan kalian selepas ini. Usah celarukan lagi emosi rakyat yang mampu bangkit menentang jika gaya kepimpinan yang sama masih berterusan.
Coretan luahan ini hanyalah pendapat peribadi penulis mewakili suara anak muda. Ia tidak mewakili pendapat keseluruhan pasukan editorial Majalah Remaja.