Adibah Noor Seorang Pencinta Kucing, Tak Berkira Berhabis Wang Untuk 41 Ekor

Share

 

Buat peminat setia Allahyarham Adibah Noor yang mengikutinya di media sosial, tentunya mereka tahu akan sifat kasihnya kepada haiwan peliharaan kucing.

Setelah tahun lalu kehilangan kucing kesayangannya, Bobby setelah ia setia menemaninya hampir 15 tahun lamanya, Sabtu lalu Adibah pula yang menghadap Ilahi akibat penyakit kanser ovari tahap empat.

ARTIKEL BERKAITAN : Perginya Penghibur Versatil, Adibah Noor Akibat Kanser

Adibah tidak pernah jemu bercerita mengenai kucing-kucingnya. Untuk rekod, pelantun lagu Terlalu Istimewa itu pernah memiliki 41 ekor kucing peliharaan di kediamannya termasuklah baka kucing jalanan atau yang dibuang orang begitu saja.

Sememangnya tugas tersebut tidak mudah untuk dipukulnya seorang kerana tanggungjawab menjaga binatang peliharaan, apatah lagi sebanyak itu, perlu digalas dengan baik umpama menjaga anak kandung sendiri.

Pembahagian masa tentulah menjadi salah satu faktor yang perlu dibiasakan oleh pemilih haiwan peliharaan seperti Adibah sewaktu hayatnya. Tambahan pula, bukan murah ya kos untuk menjaga kucing sehingga 41 ekor. Adibah pernah dahulunya berkongsi kepada rakan media mengenai minatnya itu dan pengorbanan yang perlu dilakukannya demi kesejahteraan kesemua kucing-kucingnya.

“Bukan mudah untuk menjaga 41 ekor kucing kerana saya perlu membeli makanan yang berkhasiat untuk mereka. Tanggungjawab yang dipikul tidak seharusnya dipandang mudah kerana ia ibarat menganiaya sekiranya tidak dibuat dengan baik.”

“Sejujurnya saya kurang pasti berapa banyak saya berhabis bagi membayar makanan, kos bulanan dan perubatan untuk kucing-kucing yang dibela. Apa yang pasti, saya tidak pernah berkira jumlah wang untuk kegunaan mereka,” kata dahulu.

Menerusi akaun Twitter-nya pula, pengikut Adibah tentu perasaan akan ulang ciap (retweet) dan ciapan daripadanya sendiri berkenaan kucing.

Tinjauan REMAJA ke ulang ciap terakhir Adibah adalah mengenai seorang pengguna Twitter yang mengharapkan bantuan mendapatkan tempat perlindungan untuk anak kucing yang telah ditemui pengurusnya.

Ternyata, kasih sayang Adibah tidak mengenal had. Bukan hanya manusia di sekeliling yang pernah terkesan dengan hati budi pekerti serta nilai-nilai murni penghibur versatil ini, malah haiwan juga sempat berkongsi kasih sayang Adibah yang menempatkan ‘bumbung’ perlindungan buat kesemua 41 ekor.

Diharap, kucing-kucing peliharaan Adibah ini akan menemui kediaman baharu serta akan dijaga sebaik sewaktu arwah masih hidup.

BACA LAGI : Rakan GV 2021 Terpaksa Rahsiakan Penderitaan Adibah Noor

Al Fatihah buat Allahyarham dan salam takziah kepada keluarga serta kenalan rapatnya.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ