Jenama sukan dan gaya hidup gergasi, adidas kembali melayangkan permohonan maaf kepada kesemua yang terlibat bagi kempen ‘Sukan Olimpik Munich’ mereka yang telah diturunkan setelah ia mendapat respon negatif daripada banyak pihak.
Permohonan maaf oleh adidas itu juga ditujukan sekali lagi kepada wajah kempen tersebut iaitu supermodel, Bella Hadid.
Ini setelah Bella, 28 digugurkan daripada kempen terbaru adidas yang menampilkan rekaan kasut sukan baharu yang diinspirasikan daripada Sukan Olimpik Munich 1972 yang menuai kritikan daripada kumpulan pro-Israel.
Tidak cukup sekadar namanya digugurkan, Bella juga menjadi antara mangsa tempias negatif akibat penglibatannya.
Bukan sahaja idea rekaan dan kempen tersebut didakwa seakan membuka semula kotak memori terhadap tragedi keganasan yang pernah berlaku di Sukan Olimpik Munich 1972 sehingga mengakibatkan kematian.
Malah, latar belakang Bella yang berdarah kacukan Palestin dari belah bapanya juga dilihat ironik memandangkan tragedi kematian itu menimpa 11 orang atlet warga Israel.
Justeru, sumber terdekat memberitahu Bella akan mengupah peguam dan mengambil tindakan undang-undang terhadap adidas kerana pegangannya yang menentang keganasan.
Tindakan Bella itu juga lahir daripada rasa kecewa terhadap jenama yang berpangkalan di Jerman itu kerana mereka didakwa tidak mengiktiraf konteks sejarah sebelum mengambil inspirasi daripada edisi Sukan Olimpik tersebut yang menyaksikan pertumpahan darah berlaku.
Susulan laporan mengenai tindakan undang-undang yang ingin diambil oleh Bella, adidas sekali lagi menyusulkan permohonan maaf secara terbuka setelah berbuat sedemikian hujung minggu lalu.
“Hubung kait (dengan insiden Sukan Olimpik Munich 1972) ini tidak dirancang sama sekali dan kami memohon maaf sekiranya telah mengakibatkan kekecewaan dan ketegangan dalam kalangan mana-mana komuniti di seluruh dunia.
“Kami telah melakukan kesilapan yang tidak disengajakan.
“Kami juga memohon maaf kepada rakan perniagaan kami, Bella Hadid, A$AP Nast, Jules Kounde dan lain-lain, atas impak negatif terhadap mereka dan kami sedang menilai semula kempen ini,” catat adidas.
Sama ada permohonan maaf ini sudah cukup untuk meredakan kekecohan yang tercetus dan membuatkan Bella Hadid menarik semula niatnya untuk menyaman adidas, sama-sama kita nantikan.
Terdahulu, Bella Hadid merupakan antara segelintir selebriti antarabangsa yang lantang menolak keganasan rejim Zionis ke atas masyarakat dan negara Palestin. Biarpun diancam dari pelbagai sudut, Bella dan kakaknya, Gigi Hadid kekal dengan sokongannya terhadap Palestin.
BACA: Bella Hadid Nekad Inginkan Pembebasan Palestin Meski Nyawa Diugut Dalam Lagu Rap – REMAJA
ARTIKEL BERKAITAN: Giliran Bella Hadid Tunjuk Sokongan Kepada Palestin Di Cannes Dalam Gaun Keffiyeh – REMAJA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.