“Emak saya dulu pun nak jadi penyanyi..”
Mana tumpah kuah jika tidak pada nasi.
Pada usia 23 tahun, Haqiem Rusli merupakan salah seorang penyanyi dan selebriti yang wajar diberikan pujian atas pelbagai kejayaan yang diperolehinya dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada tahun 2020 saja, Haqiem mencapai sasaran ‘jackpot’ apabila mengungguli dua buah acara anugerah sebagai pemenang utama di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) dan Anugerah MeleTOP ERA hasil undian peminat.
ARTIKEL BERKAITAN : “Dulu Saya Tengok AME Depan TV Je..” 2020 Memang Tahun Haqiem Rusli – REMAJA
Kata Haqiem semasa bertemu REMAJA hari ini di sesi penggambaran program Melodi Xtra, 2021 adalah tahun untuknya terus meluaskan lagi cita-cita dan impian dalam industri seni.
Namun Haqiem tidak keseorangan pada tahun ini apabila adiknya, Zali Rusli telahpun mula mengorak langkah dalam bidang lakonan menerusi drama Bidadari Salju yang kini ditayangkan di slot Akasia TV3.
Pada usia semuda 16 tahun, Zali juga pernah mempromosikan lagu berjudul Pewangi pada tahun lalu; menerusi label yang sama dengan Haqiem iaitu FMC Music.
Sebagai abang yang terlebih dahulu telah makan garam, tentunya Haqiem tak terkecuali daripada memberikan nasihat kepada Zali.
“Saya nasihatkannya dia selalu untuk jangan takut dengan orang. Saya faham dia pemalu, saya pun pemalu juga. Tapi apa yang lebih penting untuk berada dalam industri ini adalah niat. Kedua, kalau sesuatu yang kita buat itu adalah perkara yang betul, pertahankan.
“Saya harapkan perasaan malu dia hanya pada peringka permulaan saja, terutamanya bila berada di hadapan kamera. Bila melihat dia sekarang, saya teringat pula dengan diri sendiri dahulu. (Saya) malu juga dulu,” imbas Haqiem.
Selain memberikan sokongan, Haqiem sedikit sebanyak turut memberikan panduan kepada Zali untuk bertapak sebagai pendatang baharu. Perkara sekecil menjaga posting dan feed di media sosial juga dititik beratkan.
“Saya meminta dia melihat perjalanan karier saya dan belajar daripada mana-mana kesilapan (yang pernah dilakukan). Adik kan, mestilah saya perlu sokong dia dari belakang.”
Menurut Haqiem, cita-cita Zali untuk bergelar anak seni tidaklah terlalu ketara pada permulaan. Minat itu diasah oleh ibu mereka sendiri yang suatu ketika dahulu ingin menjadi seorang penyanyi.
“Pada zaman dulu tak ada banyak peluang seperti sekarang. Jadi bila jatuh kepada anaknya, emak suka. Saya ingat lagi dulu, emak akan bawa saya sertai pertandingan nyanyian sejak darjah dua. Pertandingan nyanyian pertama saya, saya jadi juara.
“Walaupun saya tak nak pada waktu itu, tapi emak yang buatkan saya berminat untuk mencuba. Beliaulah yang membuka mata dan jiwa saya tentang apa itu muzik. Dan sekarang tiba giliran Zali,” kongsinya.
Dorongan dan restu seorang ibu itu ternyata penting dan akan terserlah dalam kejayaan anak-anak. Mana tahu dengan usaha dan bakat yang ada, Zali akan mengikut jejak langkah Haqiem memenangi hati juri dan peminat.
BACA LAGI: “Reward Yourself…”, Haqiem Rusli Beli Kereta Mewah Di Usia 22 Tahun. Wow! – REMAJA
*
Dalam pada itu, Haqiem meluahkan rasa teruja dengan pelancaran muzik video rasmi untuk lagu terbaru, ‘Mimpi’. Ia juga merupakan runut bunyi utama untuk drama Bidadari Salju yang kian popular di saluran TV3.