“Adik Sepatutnya Ada Majlis Konvo Tapi Hingga Kini Hilang, Abang Rayu Cari Adik

Share

Tiga hari lalu berlaku satu kemalangan maut melibatkan sebuah kereta dan tiga buah lori di Kilometer 14.5 di Lebuhraya NKVE arah Subang ke Damansara. Dua orang maut dan tujuh cedera dalam kejadian sekitar jam 4.00 pagi ketika hujan lebat itu.

Namun di sebalik kemalangan maut itu, seorang abang, Khairul Anuar bin Mohd Razali, 27 tahun merayu orang ramai agar mencari adiknya, Amir Hamzah Mohd Razali, 21 tahun yang turut hilang selepas membantu mangsa kemalangan tersebut.

Masuk ke hari ini, sudah empat hari adiknya itu hilang dan pencarian masih diteruskan.

Jaket inilah kali terakhir di pakai oleh Amir empat hari lalu. Ini gambar kenangannya bersama pelakon tanah kubur, Nasir Bilal Khan
Amir sepatutnya ada majlis konvo tapi dia membantu mangsa kemalangan di NKVE dan terus hilang selepas kejadian dan dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Kayu Ara
Laporan polis sudah dibuat dan Amir masih hilang dan sudah masuk hari ke empat

Ketika dihubungi REMAJA sebentar tadi, Khairul menjelaskan kali terakhir dia berkomunikasi dengan adiknya melalui Whatsapp pada jam 3.01 pagi pada hari kejadian di mana adik menjelaskan dia sudah berada di Sungai Buloh dan berhenti rehat seketika kerana hari hujan.

“Adik sepatutnya datang ke rumah saya kerana pada 12 Oktober itu dia ada majlis konvokesyen di Cybernatic Internasional Kolej Technology. Dia mahu ke rumah saya di Shah Alam. Tapi lepas kami whatsapp jam 3.01 minit pagi itu, saya masuk tidur sebelum terjaga jam 7 pagi kerana dihubungi keluarga memaklumkan polis datang ke rumah memberitahu adik terlibat kemalangan.  Saya cuba hubungi telefon bimbit adik tapi sudah ditutup,” katanya yang memaklumkan mereka sekeluarga risaukan situasi adiknya, sama ada masih selamat, tidak sedar atau sudah terjatuh ke dalam Sungai Kayu Ara di Damansara itu.

“Inilah tanda tanya dan persoalan dari kami sekeluarga. Mohon cari adik dan viralkan agar sama-sama dapat menjumpainya,’ katanya memaklumkan dia mendapat tahu berita ini selepas ibu bapanya di Pulau Pinang memaklumkan kehilangan Amir Hamzah selepas didatangi pihak polis.

Operasi mencarinya sedang dilakukan di kawasan kemalangan terjadi. Abangnya berkongsi detik operasi dilakukan pihak berwajib

Tambah Khairul Anuar lagi, dia difahamkan, adiknya cuba membantu mangsa kemalangan di Lebuhraya NKVE itu sekitar jam 4.00 pagi selepas melihat kereta itu terbabas dan melanggar pembahagi jalan yang di sebelahnya adalah sungai Kayu Ara.

“Saya dapat lihat pembahagi jalan itu sudah pecah dilanggar kereta. Selepas cuba membantu, secara tiba-tiba datang sebuah lori yang melanggar kenderaan terbabit sehingga memecahkan lagi pembahagi jalan itu.

“Awalnya, pihak polis tidak menyedari adik antara mangsanya kerana begnya (porch) ditemui pada jarak 10-15 meter dari lokasi kejadian. Beg duitnya hilang dan begitu juga telefon bimbit jenis iPhonenya. Lain-lain barang seperti kad rapid bas dan lain-lain kelihatan elok dengan porch itu sudah koyak sedikit. Kemungkinan begnya itu dicuri orang ramai yang mengerumuni lokasi dan kemudian mencampakkannya tidak jauh dari situ.Enjin motosikalnya masih hidup dan ditemui di lokasi kejadian.

“Apa yang ditemui di lokasi kejadian hanya motor dan helmetnya. Dari situ, pihak polis menjejaki keluarga saya di Pulau Pinang,” katanya yang kemudian bergegas membuat laporan kemalangan dan orang hilang di Balai Polis Petaling Jaya.

Pemuda baik hati ini cuba membantu mangsa kemalangan di NKVE. Bantu viralkan kisahnya agar dia ditemui segera.

Apa yang membuatkan Khairul tertanya-tanya di mana adiknya sekarang kerana pencarian di semua hospital berdekatan termasuk Hospital Sungai Buloh, Hopsital Tengku Ampuan Rahimah, Hospital Shah Alam, Pusat Perubatan Universiti Malaya, PPHUKM Cheras dan sekitarnya menemui jalan buntu. Data pangkalan identiti unknown juga dibuat dan bayang adiknya tidak ditemui.

“Usaha mencarinya sedang diperluaskan di lokasi kejadian. Tak pasti sama ada diperluaskan di kawasan perangkap sampah kerana kawasan kemalangan itu di atas jambatan yang di bawahnya sungai.

“Kalau tengok pembahagi jalan itu sudah pecah dan berlubang dan ada kemungkinan ketika cuba mengeluarkan mangsa kemalangan itu, Amir terjatuh ke bawah selepas kereta itu dilanggar lori yang terbabas  diikuti dua lagi lori akibat jalan licin dan hujan lebat. Semua ini membuatkan kami jadi tertanya-tanya bagaimana dengan nasib menimpa dirinya,” katanya mengharapkan bantuan orang ramai.

Bagi yang menemui adiknya walau dalam apa jua situasi boleh menghubunginya di talian 017-4105324 (Khairul).

Published by
Almaswa Haji Che Ros