Sesi uji bakat pencarian Hero Remaja 2020 diteruskan pada hari kedua dan kali ini tumpuan kami teralih kepada seorang peserta yang merupakan adik kepada Naib Juara Hero Remaja 2012, Syafiq Kyle.
Mohamad Syazwan Emir Abdul Razak turut hadir pada sesi uji bakat hari ini dan baginya, tidak salah jika dia ingin mengikut jejak abangnya. Merupakan bekas pelajar Aswara yang mengambil jurusan teater, Syazwan mengakui bahawa dia bercita-cita untuk menjadi seorang pelakon yang berjaya.
“Saya datang ke uji bakat Hero Remaja adalah untuk mencuba nasib dan sememangnya saya ingin menjadi seorang pelakon dan ikon kepada remaja. Sebelum ini, saya ada juga buat beberapa persiapan seperti melihat kembali sejarah-sejarah Hero dan Dewi Remaja dan bertanya kepada individu yang sudah berpengalaman untuk saya mendapatkan semangat,” jelasnya.
Niatnya untuk ke uji bakat Hero Remaja disokong sepenuhnya oleh Syafiq Kyle dan selebriti tersebut sempat memberikan nasihat dan semangat sebelum Syazwan datang ke Kumpulan Media Karangkraf hari ini.
“Abang saya memang tahu saya nak datang casting Hero Remaja dan dia sangat-sangat supportive. Dia cakap pergi saja. Dapat tak dapat tu belakang cerita. Paling penting, saya tahu apa yang saya nak buat dalam hidup saya,”
“Pesanan dia yang saya paling ingat adalah just be yourself, jangan gopoh dan kelam-kabut. Jadi diri sendiri, biar mereka dapat lihat keunikan yang ada dalam diri saya,” jelas Syazwan lagi.
Selain itu, dilihat juga seorang peserta yang merupakan adik kepada Hero Favorite 2017, Nabil Aqil iaitu Imran Aqil.
Good luck kami ucapkan buat semua peserta yang hadir uji bakat hari ini. Sesi uji bakat akan disambung pada minggu hadapan di lokasi dan waktu yang sama, Kumpulan Media Karangkraf Shah Alam pada jam 9 pagi hingga 4 petang.