Agaknya, berapalah harga seluar dalam ini ya?!
Aneh tapi benar. Begitulah ilham yang cuba untuk direalisasikan oleh seorang pereka fesyen di Minggu Fesyen New York baru-baru ini. Jenama Willy Chavarria mungkin masih kedengaran janggal kepada kita yang berada di Malaysia.
Namun di New York, Willy telahpun menjadi bahan sebutan orang ramai setelah beliau mengambil mempersembahkan koleksi baharu yang sebahagiannya menampilkan helaian seluar dalam lelaki yang telahpun koyak serta comot.
Tidak dapat dipastikan sekiranya idea ini hanyalah sebahagian daripada taktik Willy untuk pantas menaikkan namanya di persada fesyen antarabangsa sempena koleksi Musim Bunga/Panas 2024 kali ini. Maklumlah, a bad publicity is still a publicity.
Bermacam-macam taktik pernah dilakukan oleh jenama fesyen antarabangsa demi mengejar viraliti. Bagaimanapun, taktik seluar dalam koyak dan comot ini adalah idea di luar kotak yang sukar sekali untuk dihadam oleh orang ramai.
Sentimen tersebut jelas dirasai di ruangan komen apabila ramai warganet yang menganggapnya sebagai publisiti murahan.
Salah seorang daripada menulis, “Ini amat menjijikkan,” manakala seorang lagi berkata, “Amatlah memalukan untuk menjadikan ‘kemiskinan’ sebagai koleksi fesyen”.
Tidak kurang juga yang beranggapan terdapat ramai lelaki di seluruh dunia yang terpaksa berhadapan dengan situasi tidak mampu menukar seluar dalam kepada yang baharu dan idea Willy Chavarria ini seakan mengeji mereka.
Dalam satu kenyataan berasingan, Willy menjelaskan bahawa seluar dalam tersebut merupakan interpretasi beliau terhadap kisah kehidupan remaja zaman ini.
“Seluar dalam koyak ini adalah lambang kepada kelemahan diri kita sendiri. Apabila kita yakin untuk menunjukkannya kepada orang ramai, maknanya kita juga tidak takut untuk mengakui kelemahan diri.”
Menariknya, tidak keseluruhan daripada koleksi ini menampilkan seluar dalam! Lah, ada sahaja rupanya pakaian ‘normal’ lain seperti celana, sweater, kemeja dan kot.
Koleksi Musim Bunga/Panas 2024 oleh Willy Chavarria ini akan mula menemui pembeli sekitar bulan Mac tahun hadapan. Haa, korang sanggup tak beli demi mengikut tren? Hehe..
ARTIKEL BERKAITAN: ‘Baju Marshmallow’ Aina Abdul Punya Makna, Emosi Lebih Mendalam – Pereka Fesyen, Masyadi Mansoor – REMAJA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.