Hiburan

Aedy Ashraf Pun Perlu Hantar Video Uji Bakat, Tidak Sewenangnya Dipilih Untuk Kahar Kapla High Council

Share

Fenomena yang pernah dicetuskan drama bersiri Projek: High Council tidak lama dahulu mungkin sekali akan kembali menghantui peminat drama dan filem tempatan setelah Astro Shaw mengumumkan prekuel kepada siri tersebut, Selasa lalu.

Namun kali ini, ia hadir dalam bentuk filem berjudul Kahar Kapla High Council yang diterajui oleh karakter utamanya, Amir Ahnaf sebagai Kahar.

ARTIKEL BERKAITAN: Amir Ahnaf Tak Kisah Wajah Dilabel ‘Muka Awam’, Percaya Dapat Bantu Memainkan Watak – REMAJA

Turut ditampilkan menerusi filem tersebut adalah wajah lama yang pernah muncul dalam ekosistem drama bersiri ‘Projek’ oleh Astro Originals iaitu Aedy Ashraf (Projek: Anchor SPM) dan juga wajah-wajah baharu yang masih hijau dalam dunia perfileman terdiri daripada Thompson Goh, Sky Iskandar dan Khenobu.

Barisan teraju utama filem Kahar Kapla High Council, (dari kiri): Thompson Goh, Sky Iskandar, Amir Ahnaf, Aedy Ashraf dan Khenobu.

Bercakap kepada REMAJA dalam sidang media tersebut, Aedy yang teruja untuk membawakan watak Beja dalam Kahar Kapla High Council berkongsi bahawa dirinya perlu melalui proses saringan yang dilakukan oleh produksi sama seperti calon-calon lain biarpun pernah berkerja rapat dengan pengarah Projek: Anchor SPM, Razaisyam Rashid.

“Saya menjalani uji bakat dengan menghantar video kepada pihak produksi untuk penilaian. Tidak sangka saya dapat menjadi salah seorang pelakon utama.

“Lebih dua bulan juga saya mengunci mulut dan tidak menjawab pertanyaan kawan-kawan mengenai projek terbaru yang bakal saya jayakan ini,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Amelia Henderson & Aedy Ashraf Kini Hanyalah Kawan, Tak Rapat Macam Dulu – REMAJA

Dalam pada itu, Aedy jumpa memberikan alasannya mengapa masih tertarik untuk membawakan watak Beja biarpun pernah menyatakan hasratnya untuk tidak lagi memainkan watak pelajar sekolah.

“Jujurnya, saya sudah ‘tutup’ zaman persekolahan saya dalam zaman Projek: Anchor SPM. Tapi bila ada sebuah lagi naskah seperti ini yang saya tidak boleh hendak tolak kerana tawarannya lebih menarik, mungkin ini adalah (projek) terakhirlah sebagai watak budak sekolah.

“Sebelum ini, sudah banyak tawaran sebagai budak sekolah yang telah saya tolak. Watak itu tidak salah tetapi bergantung kepada naskah itu sendiri. Tetapi ini adalah yang terakhir. Mengikut pengalaman saya sebagai pelakon, skrip dan jalan cerita budak sekolah ini adalah yang terbaik pernah saya terima,” ujarnya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: 5 Karakter Drama ‘Projek Anchor SPM’, Korang Yang Mana Satu? – REMAJA

Untuk pengetahuan, sesi uji bakat pencarian watak Beja, Megat, Li dan Jojo telah dilaksanakan sekitar bulan Mac tahun ini.

Lebih 1,000 calon dilaporkan hadir pada sesi uji bakat dan di atas sambutan menggalakkan itu, pihak Astro Shaw memutuskan untuk memilih 90 individu bagi menjayakan watak-watak sokongan yang rata-rata bakal menjadi pelajar sekolah.

Filem Kahar Kapla High Council dijangka menemui penonton pada hujung tahun 2024 dan diarahkan oleh Razaisyam Rashid.

BACA LAGI: Graduan UPSI & Bekas Ketua Pelajar MRSM Kuala Terengganu. Amir Ahnaf Cemerlang Sebagai Wajah Baharu Dunia Seni – REMAJA

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ