Agama Tidak Halang Jadi Kaya, Tapi Berharta Tidak Semestinya Berjaya

Share

Siapa je dalam dunia ini yang tidak mahu hidup senang?

Tidak perlu fikirkan berapa wang yang perlu digunakan untuk membeli barang keperluan. Tidak perlu risau makanan akan sedia terhidang di atas meja pada setiap hari. Apa saja yang diinginkan tertunai dalam sekelip mata. Pada pandangan ramai orang, itulah definisi kejayaan dunia.

Namun, bagaimana jika kami katakan bahawa kekayaan itu tidak mencerminkan kejayaan seseorang?

*

Stigma masyarakat Malaysia sejak dahulu lagi selalu melihat kejayaan seseorang dari sudut harta. Kalau kaya, maksudnya seseorang itu harus dihormati dan disanjungi. Merekalah yang paling berfikiran luas, ‘educated’.. segala yang terpacul dari bibir itu adalah kata-kata hikmah demi kebaikan semua.

Individu yang hidupnya lebih sederhana atau miskin pula dipandang sebagai orang yang terpaksa berkorban, tidak mampu membahagiakan keluarga. Kadangkala dihina di belakang DAN secara face to face.

Yang berharta tetap gah, yang miskin disanggah.

Tapi adakah orang kaya ini benar-benar kaya?

Adakah mereka benar-benar ‘mulia’ seperti yang disangka?

Jika kaya dengan cara menindas, adakah dia berjaya? Jika kaya dengan percaturan minda yang memanipulasi masyarakat, adakah dia berjaya? Jika kaya dan ingin membantu masyarakat sekeliling tetapi bertindak menghina, mencaci dan memalukan orang di hadapan khalayak, adakah itu berjaya? Jika kaya tetapi adab dibuang ke dalam longkang, suara ditinggikan, ibu bapa dipinggirkan, adakah itu berjaya?

Soal kejayaan ini bagi kami bergantung kepada individu itu sendiri.

Ingat, agama Islam tidak pernah menghalang umatnya untuk mengejar kekayaan. Namun tidak juga ia menjadikan kekayaan itu sebagai satu destinasi mutlak umatnya. Tidak ada disebut, jadilah kaya untuk berjaya dalam kehidupan.

Apa yang disebut dalam surah Al-Imran ayat 185 adalah, “Barangsiapa yang diselamatkan dari neraka, dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sesungguhnya dia telah berjaya.”

Sebagai remaja, biasalah jika kita mudah terbuai dengan impian dan cita-cita di dunia. Umpamanya, mengapa kita belajar – untuk cari kerja – mengapa cari kerja – untuk kaya – mengapa hendak kaya – untuk berjaya.

Akan tetapi guys, kejayaan hakiki sebenarnya melebihi faktor kekayaan.

Kejayaan seseorang itu bermula dari niat di hati. Apakah motif di sebalik mengejar rezeki kurniaan Tuhan? Adakah ia untuk digunakan semula pada jalan Allah ataupun demi kepentingan diri? Adakah kekayaan menjadi tiket untuk kita merasa bangga di hadapan rakan dan ahli keluarga? Atau adakah kekayaan yang diterima itu mengingatkan diri kita semula akan tujuan sebenar kita mencari rezeki? Demi keluarga, demi masyarakat, negara dan di jalan agama.

Dewasa ini, lebih ramai orang kaya di Malaysia yang hanya kaya luaran tetapi miskin nilai.

Mata masyarakat telah dikaburi dengan imej kejayaan mereka ini tetapi tidak ramai tahu bagaimana keadaan hati mereka. Adakah bersih hatinya atau sebaliknya? Adakah bahagia perasaannya atau sengsara?

Ya, kita tidak boleh mengawal hati dan perasaan orang lain – kaya atau tidak. Tapi kita boleh mengawal hati sendiri. Jangan diingat yang kaya itu tenang; jika tidak masakan banyak saja kes orang kaya yang hidupnya tertekan dan tidak tentu hala. Makanan terhidang memenuhi setiap sudut meja makan namun tiada kelazatan yang dirasa. Katil bertilamkan permukaan empuk namun tidur pula tidak lena.

Apa yang lebih utama daripada mengejar kekayaan adalah mengejar kebahagian.

Ya, kami tahu.. itu klise.

Tetapi apa yang pasti, itulah definisi kejayaan di dunia yang sebenar. Usahlah disamakan takrif kaya dan berjaya. Jika satu bentuk persamaan itu perlu diwujudkan sekalipun, ia haruslah antara bahagia dan berjaya.

BACA LAGI : “I’m Sorry Malaysia”, Lelaki Biadap Kepada Warga Emas Minta Maaf – REMAJA

Published by
FZ