Agong Ingatkan Ahli Parlimen Agar Sokong Belanjawan 2021 Tanpa Sebarang “Drama”

Share

Adalah dimaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, Al Sultan Abdullah menasihati ahli-ahli Dewan Rakyat untuk memberi sokongan padu pada Belanjawan 2021 demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.

Al Sultan Abdullah menegaskan bahawa Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Parlimen pada masa yang terdekat adalah amat penting kepada kerajaan dan pihak-pihak berkuasa khususnya petugas barisan hadapan untuk meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha-usaha membendung dan menangani ancaman wabak ini dari terus merebak.

Sehubungan dengan itu, Al Sultan Abdullah menyeru ahli-ahli Dewan Rakyat menghormati titah nasihat Seri Paduka Baginda untuk mereka menghentikan segera perbalahan politik dan sebaliknya mengutamakan kebajikan rakyat serta kesejaterahteraan negara supaya Belanjawan 2021 diluluskan tanpa sebarang gangguan.

Seri Paduka Baginda mengingatkan ahli-ahli Dewan Rakyat bahawa sengketa politik untuk kepentingan peribadi masing-masing akan merugikan negara dan seluruh rakyat akan menjadi mangsa pada ketika negara masih lagi bergelut menghadapi ancaman wabak COVID-19 ini.

Al Sultan Abdullah bertitah demikian selepas menerima mengadap YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mesyuarat pra kabinet di Istana Negara hari ini.





Dalam sesi mengadap yang berlangsung lebih satu jam dari 8 pagi ini Al Sultan Abdulllah telah berkenan menerima taklimat ringkas berkenaan Belanjawan 2021 yang akan dibentang di Parlimen pada 6 November 2020.

Al Sultan Abdullah menzahirkan harapan Seri Paduka Baginda agar Belanjawan 2021 ia memberi penekanan kepada pemulihan ekonomi negara dan kesejahteraan serta kelangsungan hidup rakyat yang terkesan akibat penularan COVID-19.

Al Sultan Abdullah turut menzahirkan keyakinan penuh YB Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menerajui kepimpinan negara pada saat negara sedang diuji dengan pelbagai krisis ini.

Mesyuarat pra kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Al Sultan Abdullah untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan.

Published by
Almaswa Haji Che Ros