Berita

Pendidikan Penting Buat Sultan Ibrahim: Pernah Tamatkan Latihan Ketenteraan Darat, Laut & Udara!

Share

Isi Kandungan

Toggle

Usai dimasyurkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari 2024, nama Sultan Johor Sultan Ibrahim terus menjadi di antara nama paling dicari-cari di platform digital demi mengetahui dengan lebih dekat mengenai profil Seri Paduka Baginda.

Berdasarkan maklumat yang dikeluarkan oleh Pajabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor atau Royal Press Office, berikut merupakan 5 fakta menarik yang mungkin sesetengah daripada korang tidak tahu mengenai Sultan Ibrahim terutamanya dalam bidang pendidikan serta latihan ketenteraan yang pernah diharungi.

 

01

Sultan Ibrahim merupakan putera sulung kepada Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail dan Almarhumah Enche’ Besar Khalsom Abdullah setelah diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Johor.

 

02

Di antara sekolah di mana Seri Paduka Baginda mendapatkan pendidikan awal termasuklah di Sekolah Temenggong Abdul Rahman (1) Johor Bahru sebelum ke Trinity Grammar School yang terletak di Sydney, Australia.

Seri Padukan Baginda kemudiannya melanjutkan pengajian ke Maktab Sultan Abu Bakar dan mendapat pendidikan agama di Sekolah Agama Ayer Molek, Johor Bahru.

 

03

Ternyata, Seri Paduka Baginda tidak sesekali mengenepikan pelajaran, malah begitu memandang tinggi nilai ilmu di dada apabila meneruskan pengajian di Fletcher School of Law and Diplomacy di Boston, Massachusetts, Amerika Syarikat demi melengkapkan dua kursus – Southeast Asian Strategic Studies dan International Law of the Seas.

 

04

Sebaik menamatkan kursus tersebut, Seri Paduka Baginda mula terlibat dalam latihan ketenteraan seperti yang sinonim dengan ahli-ahli keluarga diraja Johor.

Bermula di Pusat Latihan Tentera Darat (PULADA) di Kota Tinggi, Seri Paduka Baginda kemudiannya mengikuti latihan ketenteraan pegawai muda di Fort Benning Georgia dekat Amerika Syarikat serta latihan airborne dan ranger untuk melayakkan diri sebagai pegawai infranti.

Tidak cukup dengan itu, Seri Paduka Baginda meneruskan pula latihan American Special Forces dan Pathfinder di mana 19 terjunan payung terjun termasuklah lapan daripadanya pada waktu malam berjaya disempurnakan.

Hasil semangat ketenteraan yang tinggi ini, Sultan Ibrahim ditauliahkan sayap dan mendapat pengiktirafan sebgai seorang komando. Seri Paduka Baginda turut ditauliahkan sebagai anggota pasukan SEAL iaitu bagi ketenteraan darat, laut dan udara.

 

05

Ini bermakna Sultan Ibrahim berjaya menguasai ketiga-tiga aspek utama dunia ketenteraan tersebut.

Bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Sultan Ibrahim menjalani latihan juruterbang helikopter dan dikurniakan serta menerima sayap pada tahun 1982 daripada Almarhum Sultan Iskandar.

Seri Paduka Baginda juga menjalani latihan tentera laut di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak. Pengalaman tersebut sekali gus melengkapkan Seri Paduka Baginda sebagai pegawai tentera darat, laut dan udara berkemahiran.

***

Dari situ, barulah bermulanya fasa kehidupan Sultan Ibrahim sebagai Tunku Mahkota Johor apabila dimasyhurkan pada tahun 1981 dan seterusnya sebagai Sultan Johor pada tahun 2020 selepas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar.

Selari dengan perlantikan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 berkuat kuasa 31 Januari 2024, Seri Paduka Baginda akan mula bersemayam selama lima tahun di Istana Negara bersama Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ