Ahli Gusti Berhijab Malaysia Tersenarai Dalam Forbes 30 Under 30 Asia

Share

Seorang lagi anak muda telah membanggakan nama Malaysia apabila ahli gusti berhijab, Nor ‘Phoenix’ Diana merupakan antara 12 belia Malaysia yang disenaraikan dalam 7 daripada 10 kategori Forbes 30 Under 30 Asia 2020, edisi muka depan bagi kategori Sukan dan Hiburan.

Gadis kelahiran Kuala Lumpur ini pernah mendapat perhatian dunia apabila menjadi wanita pertama memenangi kejohanan Malaysia Pro Wrestling (MYPW) tahun lepas selain penampilannya yang berhijab di dalam gelanggang.

Selain Nor Diana, Anja Chong, atlet ‘speed skating’ Malaysia yang memenangi empat pingat emas di dalam acara itu di temasya Sukan SEA 2017 dan 2019 turut disenaraikan di dalam kategori Sukan dan Hiburan.

Terdahulu menerusi Berita Harian, figura dengan nama sebenar Syaradeeba Khamarulzaman ini merupakan seorang pembantu klinik di sebuah hospital, namun belum bersedia mendedahkan identiti sebenarnya kepada masyarakat umum.

“Saya sedar saya tidak begitu pandai dalam pelajaran. Saya mahu bagus dalam sesuatu bidang lain dan saya rasakan gusti adalah tempat di mana saya boleh berlatih bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan.

“Biarlah saya dikenali dengan bakat yang saya ada sebagai ahli gusti yang hebat dan bukan kerana jantina saya atau yang lain-lain. Itu adalah impian saya,” katanya yang berasal dari Keramat dan menggunakan topeng pada awal penampilan.

Apa-apa pun Remaja ingin mengucapkan thniah buat Nor Diana kerana berjaya mengharumkan nama negara ke peringkat antarabangsa.

Sumber: Berita Harian

Published by
Noor Ain Norman