Bagi warga digital Malaysia yang gemar menonton sketsa di YouTube, pasti ada segelintir daripada anda yang menjadi peminat kumpulan Warintil yang menghasilkan sketsa komedi yang berkisarkan kehidupan warga tempatan Indonesia di sebuah kawasan kampung rakyat marhaen.
Populariti mereka bukan sekadar di Indonesia sahaja, bahkan turut mengumpul peminat dari Malaysia. Buktinya, kumpulan ini memiliki lebih 7.49 juta pengikut di YouTube. Setiap video sketsa yang dimuat naik oleh kumpulan ini menerima lebih dari 3 juta tontonan, membuktikan kejayaan mereka dalam dunia digital.
Hari ini peminat kumpulan ini telah dikejutkan dengan berita kematian Purwadi bin Suprayetno yang memegang watak Rita Lalala, Wak Min dan Bobo. Berita kematiannya telah dimuat naik di laman Instagram rasmi Warintil.
Dalam hantaran tersebut, mereka meletakkan gambar allahyarham Purwadi dalam rona hitam putih. Paling meruntun hati kapsyen yang tertulis mengkhabarkan pemergian sahabat baik mereka itu.
“Dari hati yang paling dalam, kami dan keluarga turut berdukacita atas meninggalnya allahyarham. Semoga Allah menempatkannya di tempat yang paling indah di syurga. Bagi yang kenal allahyarham kami mohon agar dimaafkan segala kesalahan allahyarham, baik yang disengaja mahupun tidak sengaja dan kami mohon doa dari rakan-rakan semua,” ujar kumpulan digital popular ini.
Selain allahyarham Purwadi, kumpulan ini diasaskan dan dianggotai oleh Putra Samuel, Bagus Sudjiwo, Aris Priadi, Sam Atmaja dan Irwansyah.
Lagak dan lakonan Purwadi yang melakonkan tiga watak sentiasa mencuit hati penonton. Waktak Rita Lalala digambarkan sebagai seorang wanita yang pekak dan membawa kelucuan manakala watak Wak Min pula sebagai seorang duda yang bercinta dengan Nining (lakonan Bagus Sudjiwo) dan akhir sekali watak Bobo pula merupakan anak tunggal kepada Mumu (lakonan Putra Samuel)
BACA JUGA: Pemain Bola Sepak Remaja Meninggal Dunia Selepas Rebah Di Restoran
Enam sahabat ini melonjak populariti dan membina kerjaya dalam dunia digital menerusi karya mereka, Warintil.
Kumpulan yang diasaskan pada tahun 2017 oleh enam sahabat ini memulakan langkah mereka dalam dunia digital dengan hanya menghasilkan video sketsa menggunakan kamera telefon sebelum menjadi popular dan mampu memiliki pasukan video lengkap untuk menghasilkan karya yang profesional dan berkualiti tinggi.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.