Out of the box!
Walaupun baru berusia 19 tahun, penyanyi Aiman Tino terus mengorak langkah ke arah dalam bidang perniagaan apabila dia muncul sebagai artis pertama yang mengeluarkan baju uniform sekolah.
Jika selebriti lain sibuk mengeluarkan minyak wangi, tudung, baju kaftan, krim pemutih kulit dan sebagainya, Aiman pada pendapat penulis tampil bijak apabila dia tahu pembeli sasarannya di kalangan peminat yang rata-rata merupakan pelajar sekolah.
Koleksi baju uniform sekolah yang diberikan nama ‘Sweet Aiman Junior’ ini merupakan projek kerjasama di antara Sweet Aiman dan syarikat kosmetik, Wonder Glow Cosmetics Sdn Bhd.
Dalam temubual bersama wartawan Sinar Online, Aiman berkata dia ingin mengambil langkah berani untuk mempelbagaikan cabang bidang perniagaan yang diceburinya. Ini demi merealisasikan impian Aiman sebagai seorang usahawan muda yang berjaya.
“Bidang perniagaan merupakan bidang yang luas untuk diterokai dan insyaAllah mampu menjanjikan pulangan yang lumayan. Jadi, Aiman perlu menerokai peluang baru melalui kaedah pembungkusan produk, strategi pemasaran dan pasaran baru termasuklah medium media sosial,” kata Aiman yang melancarkan ‘Sweet Aiman Junior’ di sekolahnya dahulu di SMK Ampang Pecah.
Koleksi baju uniform sekolah ini sudahpun dijual di lapan cawangan Pasaraya Mydin sejak 14 November lalu pada harga pasaran yang mampu dimiliki orang ramai iaitu serendah RM21.
Sebelum ini, Aiman Tino pernah juga mengeluarkan tiga jenis produk kesihatan dan koleksi pakaian ‘Qurta by Sweet Aiman Fashion’.
Good job bro!