AINA ABDUL Perlu Adili Sama Rata Di Big Stage Termasuk Peserta ‘Ex-Housemate’, Nadeera Zaini

Share

Pengalaman pertama penyanyi dan penulis lirik, Aina Abdul di kerusi juri tetap program Big Stage musim kelima semalam telahpun disambut dengan respon yang rata-rata positif.

Bukan mudah untuk mengambil alih tugas yang pernah disandang oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Dayang Nurfaizah.

Begitupun, berlainan dengan pengalaman juri-juri wanita di Big Stage sebelum ini, Aina perlu mengadili salah seorang rakan seindustrinya, Nadeera Zaini yang sama-sama memulakan langkah satu masa dahulu.

Justeru, ramai penonton yang sedikit terkejut apabila Aina memberikan 65 markah kepada Nadeera yang membawakan lagu Kerna Ku Sanggup nyanyian asal Agnez Monica.

Sedangkan, beberapa peserta lain telah memperolehi markah yang lebih tinggi daripada Aina termasuklah Naufal Azrin (80), Coex (74) dan Waode (85).

Bercakap kepada REMAJA selepas tirai dilabuhkan, Aina, 29 menjelaskan tiada elemen ‘favouritism’ yang berlaku di Big Stage biarpun ada peserta yang mempunyai ikatan persabahatan dengannya.

Aina Abdul

“Sebenarnya saya cuba tonjol non-favouritism tadi. Sebab itu, ada yang tidak berpuas hati dengan markah yang Aina beri kepada Nadeera. Tapi saya hadir sebagai seseorang yang telah mengenali Nadeera jauh lebih awal daripada sesiapa pun.

“Kalau (Nadeera) tak menyanyi di atas pentas, saya pernah dengar dia menyanyi di dalam tandas, di dapur. Kami berdua saling mengetahui kelebihan dan kelemahan masing-masing. Jadi untuk Nadeera pada malam ini, saya harus berlaku adil kerana saya tahu dia boleh lakukan jauh lebih baik daripada itu.

“Markah yang saya berikan itu bukannya daripada seorang bekas teman serumah tetapi ia adalah daripada rakan seperjuangan. Jika kami bertukar posisi pun dan saya adalah peserta pada malam ini, situasinya tetap sama,” jelasnya.

Kawan Tetap Kawan

Aina yang tampil unik dalam persalinan serba merah Khuntumn dan gaya hijab oleh Naz Living A Style juga beranggapan pengalaman menjurikan rakannya, Nadeera dan 12 lagi peserta lain adalah satu pengalaman baharu yang memerlukan dirinya kekal profesional.

Nadeera Zaini.

ARTIKEL BERKAITAN: 10 Koleksi Fesyen Aina Abdul Yang Memukau Mata Dan Unik, Terpegun Melihat! – REMAJA

Apa yang utama buatnya adalah gabungan vokal dan kreativiti persembahan yang dibawakan oleh peserta sepanjang 10 minggu bersama.

“Saya tahu momen (yang memerlukan Aina untuk mengadili Nadeera) itu akan sampai. Nadeera pun pernah bercakap dengan saya sebelum pertandingan bermula namun ia berasaskan profesionalisme.

“Kami masih berkawan tetapi pertandingan tetap pertandingan. Saya kena sama rata dengan yang lain.”

“Jika yang lain lebih bagus, perlulah saya beri markah yang lebih kepada mereka.

“Saya berharap peminat Nadeera dan peminat saya sendiri yang telah mengikuti perjalanan kami sejak program terdahulu untuk tidak mengambil benda ini luar daripada konteks Big Stage. Ini adalah untuk program Big Stage dan untuk kebaikan Nadeera sendiri,” katanya.

Tak Semestinya Vokal Tinggi Boleh Menang

Sebagai juri tetap Big Stage 2023 juga, Aina mengingatkan kesemua 13 orang peserta mengenai cara pemarkahan yang telah berubah pada tahun ini di mana 50 peratus markah hadir daripada paduan vokal manakala 50 peratus lagi mewakili kreativiti persembahan.

“Tiada lagi 70-30. Jika vokal 50 peratusnya rendah tetapi kreativitinya tinggi, seseorang itu boleh menang. Dan sebaliknya jika peratusan vokalnya tiggi tapi kreativitinya rendah, seseorang itu juga boleh kalah,” ulasnya.

Begitupun akui Aina, konsert pertama pada 7 Mei baginya adalah sesi suai kenal dengan kemampuan setiap peserta yang bertanding dan tidak terlalu menitik beratkan kesemuanya ciri-ciri pengadilan dengan teliti seperti teknik vokal.

Haa, agaknya adakah markah yang akan diberikan Aina pada minggu hadapan lebih ‘tegas’?

BACA LAGI: Aina Abdul Bolot RM112,000! Dinobat Juara AJL-37, Vokal Terbaik – REMAJA

KREDIT FOTO: Astro Gempak & Instagram @hazick

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ