AirAsia Buat ‘Pusingan U’..? Kini Benarkan DUA Beg Dalam Kabin

Share

Setelah kembali perlahan-lahan beroperasi pasca musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia, AirAsia telah melakukan beberapa perubahan pada jumlah beg penumpang dalam ruangan kabin pesawat.

Untuk pengetahuan korang, bermula April lalu, AirAsia sebenarnya telah mengumumkan bahawa penumpang mereka hanya dibenarkan membawa naik SATU sahaja beg seberat 5kg ke dalam ruang kabin pesawat. Kemudian AirAsia menaikkan had berat SATU beg kepada 7kg.

Perubahan jumlah beg ini bagi membantu memudahkan penjarakan sosial penumpang semasa mengisi dan mengosongkan ruangan kabin.

Namun, pengumuman itu nyata TIDAK disampaikan secara jelas kepada penumpang sepanjang musim PKP.

Ini kerana, selepas kelonggaran diberikan oleh kerajaan untuk kita kembali menaiki pesawat untuk penerbangan domestik – ramai penumpang yang memuat naik status serta video tidak berpuas hati apabila mereka tidak dibenarkan membawa ‘bagasi kecil’ mereka ke dalam kabin.

Walhal informasi mengenai perubahan itu telahpun diberitahu di laman web AirAsia dan pada tiket penerbangan.

ARTIKEL BERKAITAN : Tiada Lagi Beg Beroda Dalam AirAsia, Penumpang Dakwa Tak Tahu

Penambahan Beg Disambut Baik Netizen

Bagaimanapun bermula semalam, AirAsia memperbaharui peraturan tersebut apabila kini membenarkan 2 beg yang tidak melebihi berat total 7 kg untuk dibawa naik ke kabin secara percuma – bagi setiap penumpang.

Dalam kenyataan kepada pihak media semalam, AirAsia berkata, “Penumpang kini boleh membawa naik 2 beg, tetapi ada perbezaan dari segi saiznya.

“Satu beg untuk diisi ke dalam ruangan kabin tidak boleh melebihi dimensi 56sm (H) x 36sm (W) x 23sm (D) ataupun panjang linear 115sm.

“Satu lagi beg adalah beg laptop atau beg kecil yang tidak melebihi dimensi 40sm (H) x 30sm (W) x 10sm (D) ataupun panjang linear 80sm. Ia mestilah muat untuk dimasukkan di bawah tempat duduk penumpang hadapan.”

*

Bagi korang yang perlu membawa naik beg melebihi berat 7kg ke dalam kabin, korang masih boleh menempah baggage allowance atau upgrade secara lebih awal semasa membeli tiket penerbangan.

Iyalah, kan nak balik kampung sempena Hari Raya Aidiladha ini. Mestilah banyak barang nak bawa balik kan! Hehe..

 

Published by
FZ