Satu pengumuman penting yang perlu si kaki travel ambil perhatian adalah AirAsia Malaysia bakal mengenakan semula surcaj bahan api mulai esok (8 Mac 2022) bagi semua penerbangan domestik dan antarabangsa.
Pengenalan semua surcaj bahan api adalah untuk mengimbangi kenaikan harga bahan api yang telah melepasi AS$120 setong. Surcaj bahan api ini dikenakan untuk semua tempahan penerbangan baharu yang dibuat pada dan selepas 8 Mac 2022 dan tempahan yang dibuat sebelum 8 Mac tidak akan terjejas.
BACA: AirAsia Bakal Kenakan Caj RM100 Untuk Urusan Check-In Di Kaunter Mulai Mac
Menurut AirAsia, kadar surcaj bahan api bagi semua laluan domestik dalam Malaysia adalah RM10, manakala bagi laluan antarabangsa bertempoh satu hingga dua jam pula sebanyak RM25.
Kadar untuk laluan antarabangsa dengan masa dua hingga tiga jam; tiga hingga empat jam dan lebih daripada empat jam masing-masing pada RM35, RM50 dan RM60.
“Sejak kali terakhir kami memansuhkan surcaj bahan api pada 2015 berikutan harga bahan api global serendah AS$48 setong waktu itu, kami telah mengalami beberapa lonjakan harga bahan api yang menyebabkan syarikat penerbangan lain mula mengenakan surcaj ini.
“Bagaimanapun, AirAsia telah menyerap kenaikan harga bahan api yang lepas untuk terus memberikan nilai terbaik kepada pelanggan kami. Malangnya, keadaan semasa, dengan harga bahan api telah melonjak lebih 160 peratus daripada angka pada 2015, telah menjadikan situasi ini tidak lagi mampan,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat.
Namun begitu, AirAsia berharap langkah ini hanya sementara dan akan terus memantau keadaan semasa, di samping memanfaatkan inovasi teknologi dan digital sebagai cara untuk mengawal kos dan menjadikan perjalanan udara mampu milik untuk semua.
Nampaknya selepas ini kos travel secara tidak langsung turut meningkat tambahan pula di waktu pandemik seperti ini ramai yang terjejas pendapatannya. Mungkin ada juga yang tidak lagi memilih untuk menaiki pesawat, sebaliknya hanya travel menggunakan pengangkutan darat.
Apa-apa pun buatlah pilihan dengan bijak dan ikut kemampuan masing-masing.
**
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Sumber: (1)
https://www.youtube.com/watch?v=PIuIyICq-W4&feature=youtu.be