Mungkin ada di antara kita yang sudah membeli tiket penerbangan ke luar negara masih berharap sekiranya mereka tidak mengalami kerugian dan mendapat semula hak mereka sebagai pengguna.
Berita baik buat pelanggan AirAsia, syarikat penerbangan itu telah melanjutkan tempoh sah Akaun Kredit sehingga 730 hari atau dua tahun berbanding tempoh setahun yang diberikan sebelum ini.
AirAsia membuat kenyataan bahawa penumpang yang mempunyai tempahan penerbangan sedia ada dibuat pada atau sebelum 17 April 2020 dengan tarikh pelepasan antara 23 Mac 2020 dan 30 Jun 2020 kini diberi pilihan pertukaran penerbangan tanpa had.
Antara pilihan yang diberi adalah pertukaran tarikh penerbangan tanpa had meliputi menukar tarikh penerbangan sebelum 31 Oktober 2020 di laluan yang sama tanpa had dan tanpa bayaran tambahan tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk.
Selain itu, penumpang juga boleh mengekalkan nilai tambang tempahan ke dalam akaun Ahli AirAsia BIG yang boleh ditebus dalam masa dua tahun.
Namun begitu, masih ada pengguna yang tidak berpuas hati mengharapkan agar mereka memperoleh duit refund dan bukannya akaun kredit seperti yang ditawarkan. Malah, ada juga pengguna yang mengatakan bahawa mereka masih belum menerima pindahan akaun kredit yang telah dibuat.
Mungkin kes korang masih lagi dalam rekod dek kerana terlalu ramai yang memohon penukaran kredit/refund sepanjang tempoh PKP ini. Diharap agar masalah ini dapat diselesaikan dengan segera dan harapnya korang pun bersabar sementara menunggu jawapan daripada pihak AirAsia.
Sumber: Harian Metro