Berita

Aisha Retno Kecewa, Terkilan Sikap Dengki Rakan Industri -“Rupa-Rupanya Ada Yang Tak Puas Hati…”

Share

Penyanyi berbakat besar, Aisha Retno menzahirkan rasa terkilan dan kecewa apabila wujud rakan selebriti yang kurang senang dengan pencapaian menerusi karier seninya.

Menurut penyanyi lagu popular Sutera itu, dia berbangga dengan setiap pencapaian yang diraih tetapi dalam masa sama kecewa kerana terasa dianiaya rakan seindustri.

“Memang rasa tekanan bila orang sudah meletakkan harapan yang tinggi. Perkara itu bukan sahaja saya rasa daripada netizen tetapi juga individu dalam industri muzik yang ada cubaan menunjukkan sisi kedengkian mereka.

ARTIKEL BERKAITAN:

Aisha Retno Pilih Ceburi Sukan Gimnastik Jika Bukan Seorang Penyanyi

“Lama-kelamaan perkara itu semakin ketara sedangkan saya hanya pamer kemampuan diri, tetapi rupa-rupanya ada pula yang tak puas hati,” katanya.

Tambah Aisha lagi, perkara tersebut sememangnya menganggu fikirannya termasuk sepanjang bertanding dalam rancangan realiti ini. Dia bagaimanapun enggan meletakkan sebarang justifikasi sama ada diganggu dengan ilmu hitam atau sebaliknya.

“Benda ini memang agak kacau mental saya sepanjang bertanding di THSS. Ganggu bukan secara terang-terangan tetapi mereka ada misi. Saya tak berani nak beritahu sama ada mereka cuba jatuhkan atau apa tetapi antara caranya ialah menjauhkan diri.

“Apabila ada benda begitu muncul, memang kacau. Saya pula memang jenis yang tak suka drama begini. Apa yang saya alami ialah kesakitan mental dan fizikal tetapi mungkin juga disebabkan keletihan tetapi memang ada berlaku perubahan dalam diri,” tuturnya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Songstress of the Moment: AISHA RETNO Buka Cerita Kejayaan Sutera – Isu Digital Mac 2024

Katanya, sifat dengki sedemikian membuatkan dirinya berasa terkilan tetapi dalam masa sama terkejut kerana individu tersebut pernah menjadi idolanya sebelum ini.

“Saya terkilan dan kecewa sebab saya pernah mengidolakan mereka ketika mula masuk industri. Agak terkejut sebab tidak semua orang baik. Saya sedih bila berlaku begini sebab tak sangka industri muzik Malaysia yang kecil begini pun ada perkara sebegini.

“Syukur saya dipagari dengan ibu bapa yang ada ilmu agama, minta dijauhkan perkara sebegitu (sihir). Apa pun saya akan ‘jalan terus’ dan beri tenaga yang maksima untuk kerjaya seni sebab ini sumber pendapatab saya,” ujarnya lagi.

Menerusi THSS akhir semalam menyaksikan, Aisha salah seorang peserta yang diumumkan sebagai pemenang tempat keempat.

Kemenangan tersebut memberinya wang tunai RM5,000, pakej pelayaran dan trofi sumbangan Astro.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath