
Penyanyi terkenal, Shila Amzah mencadangkan agar pihak penganjur Anugerah Juara Lagu (AJL) mempertimbangkan untuk menaikkan jumlah hadiah utama atau menyediakan saguhati kepada semua finalis.
Menerusi ciapan di X, penyanyi lagu Khilaf Asmara itu memaklumkan kos yang ditanggung oleh finalis untuk menyediakan persembahan terbaik di pentas AJL adalah tinggi, dan hadiah kemenangan seharusnya lebih setimpal dengan usaha yang dilakukan.
“Berdasarkan jumlah artis dah berbelanjakan untuk pentas AJL kan, macam dah boleh naikkan duit grand prize itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Shila Amzah Kongsi Wajah Anak Perempuannya -“Fotostat Papa Dia, Maaf Shila Cuba Lagi Tahun Depan”
“Atau macam kena ada hadiah (duit) saguhati at least kepada semua finalis sebab semua spend itu,” tulisnya.
Cadangan Shila tersebut secara tidak langsung mendapat sokongan ramai daripada netizen, rata-rata bersetuju bahawa hadiah kemenangan perlu sepadan dengan usaha dan kos yang dikeluarkan oleh para peserta.
Beberapa pengguna juga mengingatkan bahawa pentas AJL memerlukan pelaburan besar, termasuk kos pakaian, props, efek pentas, dan tenaga kerja bagi memastikan persembahan yang memukau.
Setakat ini, pihak penganjur belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai perkara ini.
Sekadar info, Marsha Milan dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu Ke-39 (AJL39), menerusi lagu balada, Hening Rindu, pada malam Ahad
Kejayaan itu menyaksikan Marsha membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM100,000 serta trofi AJL39.
Naib juara AJL 39 menjadi milik lagu Bukan Lagi Kita nyanyian Nadeera Zaini ciptaan dan lirik oleh Hael Husaini dan Iqie Hugh, sekali gus menyaksikan mereka membawa pulang trofi dan wang tunai RM50,000.
Menduduki tempat ketiga, lagu Saksama nyanyian Akim & The Majistret ciptaan Akim & The Majistret dan lirik oleh Bunga Cantik, melayakkan mereka menerima wang tunai RM30,000 berserta trofi.
Enie Zakri yang mempertaruhkan lagu Aura memenangi kategori Vokal Terbaik dan berjaya membawa pulang trofi dengan bersama wang tunai RM12,000.
Seterusnya, kategori Persembahan Terbaik yang menawarkan ganjaran wang tunai RM12,000 dan trofi menjadi milik Aina Abdul selepas mempamerkan persembahan berkonsepkan jantung.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: X Shila Amzah