Dia merupakan seorang wanita yang menjadi inspirasi kepada masyarakat di Malaysia. Mula menggegarkan negara menerusi keputusan 17 A1 dalam peperiksaan SPM pada tahun 2004, pemilik nama Nur Amalina Che Bakri menjadi perhatian ramai.
Bukan sahaja dek kepandaiannya dalam pelajaran, bahkan ketrampilan dalam bersuara tentang satu-satu isu menonjolkan sifat kepimpinan yang ada di dalam dirinya.
Terbaharu dalam perkongsian satu hantaran di laman Instagramnya, Dr Amalina ada berkongsi tentang sikap manusia yang suka mempertikaikan apa sahaja perkara yang hendak dilakukan oleh orang lain.
Menurutnya, “Semasa saya memutuskan untuk mengambil 17 mata pelajaran untuk SPM (bersamaan dengan GCSE), seseorang di sekolah berkata saya gila dan saya tidak akan dapat melakukannya.
“Ketika saya memulakan perjalanan saya untuk melanjutkan pelajaran di UK, seseorang di internet berkata saya akan tidak berjaya bahkan bakal gagal. Ketika saya memutuskan untuk membuat pengajian Master semasa tahun F1 / F2 (housemanship), saya diberitahu F1/F2 susah dan bagaimana hendak saya menyelesaikan Master saya di Cambridge.
“Ketika saya memulakan latihan pembedahan/tempat tinggal saya di lokasi impian saya (London), seseorang di media sosial berkata, bagus pilihan kerjaya saya tetapi mereka mula mempertikaikan bila pula saya akan bernikah dan memiliki bayi sendiri.
“Semasa saya memulakan PhD dan mengikuti program persaingan penyelidikan yang kompetitif. Seseorang di media sosial berkata, apa gunanya memiliki semua ijazah itu, tidak ada yang boleh dibanggakan, lagipun PhD bukan boleh dibawa ke kubur.”
Itulah kata-kata yang diterima oleh Dr Amalina Che Bakri di setiap fasa dalam kehidupannya. Biarpun setinggi mana kejayaan yang ditempa pasti ada sahaja suara-suara sumbang yang akan menjadi anasir negatif.
Membidas semua kata-kata yang pernah dilemparkan kepadanya, dia menasihatkan kepada semua individu yang pernah melalui perkara yang sama agar kekal dengan niat masing-masing dan buktikan kepada mereka yang anda boleh berjaya.
Salurkan negativiti itu supaya berubah menjadi aura positif dan ambil kata-kata itu sebagai cabaran untuk memotivasikan diri agar bekerja lebih keras. Bangga dengan diri anda dan apa yang telah anda capai. “You do you,” katanya.
View this post on Instagram
Sumber & Gambar: Instagram Dr Amalina Che Bakri