Akhbar Tertua Dunia, Wiener Zeitung Tamatkan Cetakan Selepas 320 Tahun Beroperasi

Share

“Ini adalah masa yang sukar untuk kewartawanan berkualiti. Di banyak platform lain, kandungan yang serius terpaksa bersaing untuk mendapatkan perhatian dalam kalangan berita palsu, video kucing dan teori konspirasi”

Itulah laporan terakhir akhbar nasional tertua dunia, Wiener Zeitung dari Austria mencetak edisi harian terakhirnya selepas hampir 320 tahun beroperasi.

Menerusi edisi terakhir tersebut, akhbar itu menyiarkan laporan sudut editorial yang menyalahkan undang-undang baharu kerajaan atas penamatan cetakannya.

ARTIKEL BERKAITAN : [GIVEAWAY] Menangi Sepasang Tiket Mission: Impossible – Dead Reckoning Part One

Dalam laporan The Guardian, akhbar berkenaan itu juga tidak lagi mencetak edisi harian selepas perubahan undang-undang yang dibuat kerajaan menyebabkan medium tersebut tidak lagi dapat mencipta keuntungan sebagai produk cetakan.

Undang-undang yang diluluskan pada April lalu oleh kerajaan campuran Austria menghentikan keperluan untuk mengenakan bayaran kepada syarikat bagi menerbitkan sebarang pengumuman awam dalam edisi cetak akhbar itu, sekali gus menamatkan peranan Wiener Zeitung sebagai warta rasmi.

Perubahan tersebut mengakibatkan anggaran kehilangan pendapatan sebanyak 18 juta euro (RM91.57 juta) dan memaksa akhbar itu memberhentikan 63 pekerja, termasuk mengurangkan kakitangan editorialnya daripada 55 kepada hanya 20 orang.

Bagaimanapun, akhbar yang berpangkalan di Vienna akan terus menerbitkan berita secara dalam talian dan berharap untuk mengedarkan edisi cetakan bulanan, walaupun rancangan itu dilaporkan masih belum dimuktamadkan.

Sekadar informasi, Wiener Zeitung yang dimiliki oleh kerajaan Austria tetapi bebas dari segi editorial, mula diterbitkan pada Ogos 1703 dan menjadi wadah berita bagi pemerintahan 12 presiden dan 10 maharaja.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.


Published by
Fath