4 hari telah berlalu sejak pemergian DJ Sweden terkenal, Avicii.
Namun, berita tersebut masih mengejutkan ramai pihak terutamanya peminat, kenalan selebriti rapat dan masyarakat, secara amnya.
Terlalu banyak spekulasi yang telah dikeluarkan oleh netizen di media sosial dan rata-rata meneka sebab utama kematian Avicii tanpa sebarang fakta yang kukuh. Ada yang mendakwa Avicii sakit kritikal, ada juga yang mengesyak dia terlibat dalam kes jenayah.
Kini akhirnya, ahli keluarganya sendiri membuka mulut kepada pihak media untuk menjelaskan kenyataan mereka.
Keluarganya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada sokongan yang diberikan oleh peminat Avicii tanpa henti. Mereka juga amat bersyukur kerana ramai yang menyayangi ahli keluarga mereka itu melalui karya muzik yang dikeluarkannya.
“Kami menghargai sokongan kamu yang mempunyai kenangan indah melalui lagu-lagu Tim.
“Terima kasih juga kepada semua yang mengambil inisiatif untuk melakukan penghormatan kepada mendiang Tim dengan cara berkumpul, membunyikan loceng di gereja, memberikan tribut semasa Coachella baru-baru ini dan sebagainya.
“Kami juga menghargai ruang privasi yang diberikan kepada kami semasa menghadapi saat yang sukar ini. With love, keluarga Tim Bergling,” tuntas mereka.
Artikel Berkaitan: Selebriti Hollywood Terkejut Dan Bersedih Dengan Pemergian Avicii.
Avicii meninggal dunia pada usia semuda 28 tahun di Muscat, Oman.
Terdapat beberapa foto yang menunjukkan saat terakhir sebelum Avicii meninggal dunia di internet dan dia tidak kelihatan tanda-tanda sedang sakit. Malah, dia juga kelihatan sedang gembira menghabiskan masa bersama kawan dan peminat.
* * * * *
Setelah dua proses postmortem dijalankan oleh pihak Royal Oman Police, mereka mengesahkan tiada sebarang tanda-tanda jenayah yang mengakibatkan kematian Avicii.
Keluarga Avicii yang merangkumi ibu bapanya, 2 kakak dan seorang adik pula telah tiba di Oman untuk membawa pulang mayatnya untuk proses seterusnya.