
Berita baik untuk mommy dan daddy wannabe!
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin telah mengumumkan bahawa suami yang lengkap divaksinasi boleh menemani isteri mereka dalam bilik bersalin tidak lama lagi.
Hal ini dimaklumkan oleh KJ dalam sebuah tweet terkini sebentar tadi.
Menurut beliau, suami yang lengkap divaksinasi perlu juga menjalani ujian COVID19 dan mendapat keputusan negatif untuk dibenarkan menemani isteri di bilik bersalin.
Kementerian Kesihatan (KKM) akan mempertimbangkan kebenaran kepada suami yang lengkap dua dos vaksin COVID-19 untuk menemani isteri ketika melahirkan anak.
Perkara itu dimaklumkan Menteri KKM, Khairy Jamaluddin Abu Bakar serta Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah di laman Twitter, pada Isnin.
Kata Khairy, beliau telah meminta Dr Noor Hisham membenarkan perkara berkenaan dilaksanakan. Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam jawapan balasnya turut menyatakan,”Ya, akan melakukan perkara yang diperlukan’.
Perkembangan terkini tentang SOP peneman ibu di bilik bersalin mungkin akan diumumkan oleh KKM sedikit masa lagi.
Apapun, kita tunggu pengumuman rasmi KKM nanti ya!
Sumber: Twitter Khairy Jamaludin
UiTM Beri RM100 Kepada Pelajar Susulan Penangguhan Pendaftaran Kemasukan Secara Fizikal

Ekoran daripada penangguhan pendaftaran fizikal kepada pelajar IPT baru-baru ini, Universiti Teknologi MARA (UiTM) akan memberikan RM100 melalui inisiatif UiTM Prihatin kepada penuntut yang terpaksa berpatah balik ke kampung selepas mendaftar di institusi tersebut.
Bantuan yang sama turut diberikan kepada penuntut yang sudah mendaftar dan terus tinggal di kolej kediaman serta di luar kolej kediaman UiTM Shah Alam dan kampus cawangan ketika ini. Pengurusan tertinggi universiti juga bersetuju memberi pengecualian bayaran kolej bagi bulan ini kepada semua penuntut yang memilih untuk terus tinggal di kolej kediaman UiTM Shah Alam dan kampus cawangan.

Terdapat 3,252 penuntut yang direkodkan datang mendaftar secara fizikal pada Khamis hingga Sabtu lalu dengan 940 memilih untuk terus kekal di kolej kediaman UiTM.
Naib Canselornya, Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim turut berkata inisiatif dan insentif yang dilaksanakan itu selari dengan saranan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad supaya IPT memahami kesulitan dan kekangan yang dihadapi penuntut.
Selain itu juga, pihak UiTM memberi jaminan kebajikan dan keselamatan penuntut akan sentiasa dipantau dan diberikan keutamaan. Diharap dengan inisiatif yang dilakukan ini dapat memberikan semangat untuk pelajar lebih tenang dan tabah dalam meneruskan pengajian mereka.
Sumber: Berita Harian
“Terbaik Idea..,” Netizen Setuju Cadangan PAS Hapuskan Unsur Riba Dalam Bayaran Balik PTPTN

Isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) nampaknya tidak pernah reda kerana sering kali mendapat perhatian.
Baru-baru ini, PAS yang sudah menjadi sebahagian dalam gabungan Perikatan Nasional yang membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu telah mengeluarkan cadangan berkaitan PTPTN ini.
Seperti biasa salah satu isu yang sering ditimbulkan dalam kalangan parti ialah hak pelajar universiti mengenai pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Hal ini disebabkan pembayaran balik pinjaman yang dikenakan organisasi itu.
Justeru, selaku menjadi salah satu parti yang membentuk kerajaan baharu ini menyuarakan cadangan agar unsur riba dalam bayaran pinjaman PTPTN dihapuskan.
Memetik laporan Harian Metro, kenyataan ini dikeluarkan oleh Timbalan Mursyidul Am, Ahmad Yakob yang berharap peminjam hanya membayar jumlah yang dipinjam.
“Sekiranya kerajaan (diterajui Perikatan Nasional) hari ini tidak dapat menyelesaikan isu (menghapuskan hutang) PTPTN, jika dapat selesaikan tanpa riba pun sudah okay.
“Isu (PTPTN) ini, jangan kata pengecualian sebab (dalam Islam) bila pinjam kena bayar, cuma jangan dikenakan riba,” katanya.
PAS berkata, manifesto mereka mengenai langkah memansuhkan PTPTN hanya terpakai sekiranya parti itu berjaya membentuk kerajaan sendiri.
Rata-rata netizen turut memberikan respon positif dan menyambut baik cadangan PAS ini sebeb menurut mereka, hutang memang patut dibayar namun bayaran bunga perlu dihapuskan.
Buat masa ini, selain caj pengurusan, peminjam PTPTN dikenakan kadar faedah tiga peratus. Bagaimanapun peminjam boleh bertukar kepada sistem ujrah yang mengenakan kadar satu peratus.
Tapi korang yang dah pinjam PTPTN tu jangan buat lupa pula bayar hutang. Jangan sampai memberi mudarat pada orang lain pula. Tapi kes penulis yang dah habis bayar PTPTN ni macam mana pula, hiks
Sumber: Harian Metro
Harungi Pelbagai Rintangan, Puteri Raja Jepun Akhirnya Selamat Berkahwin Dengan Rakyat Biasa

Cinta sememangnya suatu perkara yang cukup bermisteri. Ada masanya cinta senang dicari, kadangkala banyak pula rintangan yang perlu diharungi demi dapatkan cinta sejati.
Begitulah kisah cinta anakanda Maharaja Jepun iaitu Puteri Mako yang jatuh cinta kepada seorang jejaka dari kalangan rakyat biasa, Kei Komuro.
Pengaruh diraja di sana cukup kuat dan rakyat mengharapkan agar salasilah darah diraja sejati dapat diteruskan. Disebabkan itu, bertahun-tahun kisah percintaan mereka mengundang kontroversi dan tentangan daripada sebilangan rakyat jelata.
Namun benarlah kata orang, cinta sejati tidak mengenal latar belakang, harta mahupun pangkat dan darjat apabila Puteri Mako menerima Kei Komura sebagai suaminya setelah melangsungkan pernikahan pada 26 Oktober 2021.

Berbeza daripada majlis perkahwinan ahli keluarga empayar Jepun sebelum ini. majlis bagi Puteri Mako diadakan dalam keadaan yang cukup sederhana. Hanya majlis wajib saja dilangsungkan tanpa mengadakan acara resepsi secara terbuka.

Harta Ditolak Dan Hilang Gelaran Empayar
Menurut laporan media di Jepun, hasil perkahwinan atas nama cinta ini, Puteri Mako yang merupakan anak pertama Putera Akishino dan Puteri Kiko dipercayai menolak wang tunai bernilai RM5.6 juta yang ditawarkan kepadanya. Bayaran tersebut adalah tradisi biasa yang diberikan kepada mana-mana ahli diraja perempuan Jepun kerana mereka akan meninggalkan istana selepas itu sebagai seorang isteri.
Selain itu, Puteri Mako juga kehilangan gelaran dan pangkatnya dalam struktur empayar jepun sebaik sahaja mendaftarkan perkahwinan dengan Kei Komuro di pejabat pendaftaran awam.
ARTIKEL BERKAITAN : Puteri Mako Dilucutkan Hak Sebagai Kerabat – REMAJA
Fuh, drama juga ya keluarga diraja Jepun!
Kisah ini mengingatkan REMAJA kepada kisah perkahwinan dalam keluarga diraja Britain dahulu apabila ayahanda Ratu Elizabeth II, George V menggantikan tempat raja sebenar, Edward VIII setelah Edward memilih untuk mengahwini seorang wanita biasa yang berstatus janda, Wallis Warfield Simpson pada tahun 1936.
Walaupun Edward menerima nasihat daripada pihak kerajaan, pihak gereja England dan rakyat jelata untuk tidak sesekali membuat keputusan demikian, beliau masih memilih cinta dan secara rela diri menyerahkan posisi sebagai Raja Britain kepada adindanya, George V.

Berbalik kepada kisah Puteri Mako ya.
Setelah mengahwini Kei Komura, beliau khabarnya akan berhijrah ke Amerika Syarikat lantaran suaminya itu sedang membina kerjaya sebagai seorang peguam bertauliah di sana. Pada masa yang sama, Puteri Mako juga dipercayai akan melanjutkan pengajian dalam bidang seni dan warisan budaya di Universiti Kristian Antarabangsa di Tokyo iaitu institusi sama yang menemukan beliau dengan Kei Komuro pada tahun 2017.

Pada tahun 2018 semasa Puteri Mako menghadiri Universiti Edinburgh, Kei Komuro pula berpindah ke New York, Amerika Syarikat untuk menyambung pengajian undang-undangnya di Fordham Universiti.
Sebenarnya, ada sebab lain yang menyebabkan pasangan tersebut berpisah sebentar dan menyambung pengajian di luar Jepun. Pada tahun 2017 setelah mereka secara rasminya dilaporkan sedang bercinta, timbul kontroversi melibatkan dakwaan daripada bekas tunang Puteri Mako terhadap Kei Kumoro dan ibunya. Kata bekas tunangnya, mereka gagal membayar hutang kepadanya (walaupun laporan tidak memperincikan jenis hutang yang dimaksudkan).
Lalu rakyat jelata mula tertanya jika Kei Komuro mampu menanggung Puteri Mako sekiranya mereka berkahwin.
Penangguhan perkahwinan mereka pada waktu itu juga terus menjadikan sokongan rakyat terhadap pasangan ini mulai suram. Difahamkan, kesan daripada kontroversi itu, Puteri Mako mengalami tekanan mental dan masing-masing memilih untuk meninggalkan Jepun buat seketika atas alasan ingin melanjutkan pengajian (walaupun hakikatnya, mereka benar-benar melanjutkan pengajian).
Sehingga kini, Puteri Mako dikatakan masih diganggu dengan kondisi post-traumatic stress disorder.

Sewaktu sidang media bersama suaminya itu sejurus melangsungkan majlis perkahwinan, Puteri Mako memperbetulkan laporan kononnya Kei Komuro ialah punca kepada kesedihan dan tekanan yang dialaminya selama ini.
“Kei ialah seseorang yang tidak boleh diganti untuk saya. Bagi kami, ikatan perkahwinan adalah pilihan utama untuk meneruskan hidup dengan bahagia.”
Tambah Kei, “Saya cintakan Mako. Saya ingin menghabiskan kehidupan saya hanya bersama orang yang saya cintai.”
Disebabkan kisah ini dan penghijrahan mereka ke Amerika Syarikat selepas ini, pasangan ini terus dilabel sebagai pasangan ‘Harry dan Meghan’ versi Jepun.
ARTIKEL BERKAITAN : Putera Harry & Meghan Markle Dilucutkan Jawatan DiRaja. Tidak Lagi Menjadi ‘Working Royal’ – REMAJA
BACA LAGI : Setelah Keluar Istana, Meghan Markle Jadi Penerbit Eksekutif. Terbitkan Siri Animasi Untuk Netflix – REMAJA
Untuk pengetahuan, sebelum ini pada tahun 2005, ibu saudara Puteri Mako iaitu Puteri Nori yang kini dikenali dengan nama Sayako Kuroda juga meninggalkan keluarga diraja Jepun atas faktor yang sama. Menurut sumber, dia dibayar sebanyak RM4 juta sebagai wang memulakan kehidupan baharu sebagai orang kebanyakan.