Sejak Isnin minggu lepas, berita mengenai kehilangan remaja berusia 20 tahun telah menarik perhatian ramai dek kerana tiada petunjuk yang ditemui.
Norazwa Rashid, pelajar di UiTM Alor Gajah telah dilaporkan hilang setelah kelibatnya tidak kelihatan oleh rakan sebilik selepas dia pulang ke kampus dari rumah. Malah, panggilan telefon oleh keluarga juga tidak dibalas.
Demikian hal ini, keluarga Norazwa yang diwakili oleh kakaknya, Alin Ikmal telah meminta bantuan kepada pengguna media sosial melalui Twitter dan Facebook untuk menghubunginya jika mengetahui keberadaan Norazwa.
Akhirnya malam kelmarin, Norazwa telah dijumpai dan kembali ke pangkuan ahli keluarga.
Menurut Alin, adiknya itu telah dijumpai oleh seseorang di Gombak selepas dia melihat berita mengenai Norazwa di akhbar. Justeru itu, dia terus menelefon ahli keluarganya untuk dibawa pulang ke kediaman keluarganya di Wangsa Maju.
“Alhamdulillah, kami sangat bersyukur dipertemukan kembali. Terima kasih kepada netizen yang prihatin dengan kes viral kehilangan Norazwa selama ini.
“Walaupun dia telah selamat pulang ke pangkuan kami, pihak polis masih akan menjalankan siasatan terhadap kes ini dan kami terbuka untuk beri kerjasama,” katanya kepada rakan media di portal Kampus Uols
Tinjauan REMAJA juga mendapati Alin Ikmal telah memadam status meminta bantuan dari minggu lepas di Facebook. Mungkin untuk tidak memanjangkan lagi isu ini? Menurut thread di Twitter, Alin memaklumkan bahawa keadaan Norazwa masih belum stabil dan memerlukan masa untuk bertenang sebelum dia boleh menceritakan apa yang berlaku sebenarnya.
Eloklah berehat dulu jika berada dalam keadaan depressed atau trauma sebegini. Lagipun nak Hari Raya sudah, kan. Kita doakan yang baik-baik saja tanpa spekulasi.