Akibat Keluarga Percaya “Air Ajaib” Doa Ustaz, Gadis 18 Tahun Akhirnya Meninggal

Share

Apabila didiagnos mengalami sesuatu penyakit oleh pakar perubatan bertauliah, secara automatik, di fikiran ibu bapa dan ahli keluarga lain mencadangkan agar pergi berubat dengan ustaz, pengamal perubatan dan lain lagi.

Banyak kisah-kisah begini menjadi viral di media sosial di mana pesakit dan ahli keluarga pesakit mengakui keadah perubatan “ustaz” begitu berkesan, hanya guna doa dan air.

Al-Quran memang diturunkan untuk dibaca, diamalkan dan difahamkan melalui konsep Tadabbur (memahami mesej dalam al-Quran) dan tazakkur (memahami makna serta merasai yang mana ada peringatan, petunjuk dan rahmat Allah). Malah memintalah kepada Allah, nescaya Allah akan perkenankan.

Masa yang sama, manusia dilahirkan dengan kepintaran dan kepandaian masing-masing dengan izinNya dan tidak hairanlah lahirnya doktor, engineer dan lain-lain pekerjaan untuk membantu orang lain.

Baca kisah ditulis oleh seorang doktor perubatan ini di fbnya, Dr Amirul Amzar tentang seorang gadis berusia 18 tahun yang didiagnos SLE sebelum penyakitnya itu menyerang organ dalamannya, buah pinggang. Semasa gadis ini dalam rawatannya, masalahnya dapat dikurangi namun keluarga gadis ini lebih percayakan”air ajaib” doa seorang ustaz sehingga satu ketika gadis ini gagal dan tidak menghadirkan diri ke hospital untuk rawatan susulan. Apa yang menyedihkan, doktor ini akhirnya mengetahui gadis ini sudah meninggal dunia akibat kegagalan buah pinggangnya berfungsi.

Bacalah kisahnya untuk jadi pengajaran pada yang ada masalah kesihatan. Memang tak salah mencuba keadah lain tetapi jangan juga menidakkan saranan diberi doktor.

Dr Amirul Amzar. Gambar fb

AIR AJAIB MENCUCI BUAH PINGGANG!!

Ada seorang gadis berusia 18 tahun datang ke klinik. Datang dengan bengkak pada kedua belah kaki dan ruam di muka dan badan. Selepas beberapa pemeriksaan dan penyiasatan, gadis ini disahkan mengalami Systemic Lupus Erythematosus (SLE), sejenis penyakit autoimmune. Lebih mendukacitakan lagi, penyakit ini telah memberi komplikasi kepada buah pinggang gadis tersebut.

Semasa datang kepada saya, fungsi buah pinggangnya (eGFR) telah turun kepada 40-50, Chronic Kidney Disease stage 3. Oleh itu, gadis muda ini telah dirujuk ke pakar buah pinggang dan pakar Rheumatology. Alhamdulillah, dengan rawatan di klinik-klinik pakar tersebut, penyakitnya stabil.

Beberapa bulan selepas itu, semasa janji temu beliau dengan saya, fungsi buah pinggangnya stabil dan tidak merosot, ruam dan bengkak kakinya juga hilang. Walaupun terpaksa mengambil berbagai ubat-ubatan seharian, beliau redha dan faham akan masalah kesihatannya. Secara umum, beliau gembira dengan keadaan pada waktu ini.

Namun….

Pada janji temu seterusnya, keadaan kesihatan beliau merosot. Seluruh badan bengkak, beliau tidak lagi boleh berjalan jauh tanpa lelah, malah tidak boleh baring tanpa menggunakan bantal. X-ray beliau menunjukkan dada di penuhi air. Laporan ujian darah beliau menunjukkan fungsi buah pinggang beliau merudum ke 10 sahaja!! Saya terkejut, gadis yang baru melangkah kaki ke kolej ini sudah perlu dialysis sepanjang hayatnya!!

“Kenapa jadi macam ni?” tanya saya.

Rupa-rupanya beliau telah dibawa ahli keluarga berjumpa dengan seorang ‘ustaz’. Diberitahu bahawa sakit beliau ini buatan orang. ‘Ustaz’ tersebut menyuruh beliau berhenti segala ubat-ubatan hospital dan minum air yang diberi. Kosnya tidak mahal, hanya belasan ringgit setiap kali berjumpa. Berbanding ubat-ubatan hospital yang lebih mahal, sudah tentu ia lebih menjimatkan.

Pada awalnya, simptom-simptom si gadis tampak elok walau tanpa ubat hospital. Gembira bukan kepalang apabila tidak lagi perlu menghabiskan wang dan waktu ke hospital. Rawatan alternatif yang amat berkesan. Namun, setelah beberapa lama mengambil air ajaib tersebut, simptom-simptom yang lebih teruk datang. Sudahlah memungkiri pula temu janji pakar buah pinggang dan Rheumatology. Alasannya, si ‘ustaz’ kata penyakit ini bukan penyakit badan, ia buatan orang!

Disebabkan fungsi buah pinggang yang tenat dan simptom lebihan air dalam badan, kes ini dirujuk segera ke pakar buah pinggang. Beliau perlukan dialysis. Namun, ahli keluarganya berkeras tidak mahu dialysis dan mahu mencuba alternatif lain. Cukup sekadar ubat-ubatan lamanya disambung. Masih tidak mahu menerima keburukan air ajaib yang diterima dari ‘ustaz’.

Si gadis hanya diam tak berkata. Ikutlah apa ibu dan ayah rasa terbaik buatnya. Setelah berkali-kali cuba diyakinkan oleh saya, malah juga oleh pakar buah pinggang, mereka tetap berkeras tidak mahu dialysis. Kami akur, doakan yang terbaik buat si gadis.

2 minggu kemudian, saya cuba cari data si gadis dalam sistem hospital. Sedih, remuk hati ini. Nama si gadis sudah berwarna merah. Menandakan beliau sudah pergi meninggal kan kita. Sebab terakhir beliau datang ke kecemasan; sepsis,fluid overload and uremia in end stage renal failure. Jangkitan teruk, lebihan air dalam badan, lebihan toksin akibat kegagalan fungsi buah pinggang.

_______________________________________________

Penyakit kegagalan buah pinggang semakin meningkat di Malaysia. Ia memberikan beban bukan sahaja kepada pesakit malah kepada kerajaan. Bagi pesakit yang memerlukan dialysis, kosnya lebih kurang RM2500 sebulan. Sayangnya, kerosakan buah pinggang kebanyakannya tidak memberikan apa-apa tanda, selagi tidak belum betul-betul gagal. Sebab itu, ramai pesakit buah pinggang hadir mendapatkan rawatan bila sudah lewat.

Apa punca kegagalan buah pinggang? Berikut adalah antara punca kerosakan buah pinggang.

1) Kencing manis tidak terkawal. 58% pesakit baru yang memerlukan dialysis adalah disebabkan kencing manis. Ini diterukkan lagi dengan beban kencing manis yang semakin meningkat di Malaysia
2) Darah tinggi tidak terkawal
3) Penggunaan ubat-ubatan tahan sakit secara berterusan dan berpanjangan. Terutamanya NSAIDs seperti voltaren (sodium diclofenac), ponstan (mefenamic acid), synflex (naproxen) dan lain-lain.
4) Penyakit-penyakit autoimmune seperti SLE dan sebagainya. Seperti gadis malang dalam cerita di atas.
5) Sumbatan pada salur buah pinggang atau kencing sama ada disebabkan struktur tidak normal atau batu karang.

Kerosakan buah pinggang berlaku secara berperingkat. Jika penyebab kerosakan tidak dihentikan, kencing manis dan darah tinggi tidak dikawal, fungsi buah pinggang semakin merosot. Apabila fungsi (dikira sebagai eGFR) mencapai kurang dari 15, dialysis diperlukan. Ini kerana dalam keadaan ini buah pinggang tidak lagi mampu menjalankan fungsinya iaitu mengeluarkan toksin dan air berlebihan dari badan. Jika tidak dialysis, risiko menjadi seperti gadis dalam cerita di atas adalah tinggi.

Pencegahan adalah rawatan terbaik. Bagi mereka yang masih normal fungsi buah pinggangnya, jaga lah kesihatan dengan baik. Senaman, kurangkan garam dalam makanan, kawal pengambilan gula, berhenti merokok dan elakkan menggunakan ubat tahan sakit tanpa nasihat doktor.

Namun, bagi yang sudah mempunyai masalah buah pinggang, patuhilah temu janji anda dengan doktor. Bincang dengan doktor jika ubat-ubatan yang diberi memberikan masalah kepada anda. Jangan mungkir temujanji dengan menggunakan rawatan alternatif yang tak terbukti keberkesanannya. Jus-jus kesihatan, pil-pil herba, mesin-mesin ajaib, jangan bazirkan duit anda di situ. Begitu juga dengan suplemen kesihatan. Jangan mudah tertipu dengan penjual. Dapatkan nasihat pakar.

Nyawa itu anugerah, dan anugerah itu tidak harus diperjudikan.

Sumber rujukan:
1) Malaysian CPG on Management of Chronic Kidney Disease in Adults, http://www.acadmed.org.my/view_file.cfm?fileid=497
2) Malaysian CPG on Diabetic Nephropathy, http://www.acadmed.org.my/view_file.cfm?fileid=271

Dr Amirul Amzar

Kredit fb : Amirul Amzar

Published by
Almaswa Haji Che Ros