Harapkan pegar, pegar makan padi!
Inilah perumpamaan yang boleh disesuaikan dengan seorang bekas guru dan pengasas sebuah sekolah tahfiz yang terletak di Bandung, Jawa Barat, Indonesia.
Dikenali sebagai Herry Wirawan, lelaki berusia 36 tahun ini telah melakukan perbuatan terkutuk merogol 13 pelajar perempuan berusia 11- 16 tahun sejak 2016.
Lebih menyayat hati lapan dari mereka telah mengandung hasil dari perbuatan terkutuk lelaki tersebut dan telah melahirkan seramai sembilan orang bayi. Berita ini menjadi satu berita sensasi dan menggemparkan seluruh Indonesia sekaligus menimbulkan keraguan terhadap sekolah agama.
Perbuatan terkutuk ini diketahui umum apabila salah seorang ibu bapa kepada pelajar yang dirogol mendapati anak mereka mengandung dan kemudiannya melaporkan perkara tersebut ke pihak polis daerah.
Sebelum ini pada Februari mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup sebelum menukar keputusan itu kepada hukuman mati setelah pihak pendakwaraya membuat rayuan.
Selain itu Herry Wirawan juga diarahkan untuk membayar lebih 300 juta rupiah selain hartanya akan dirampas dan dilelong dan dibahagikan kepada mangsa untuk memastikan kehidupan mereka dan anak yang dilahirkan terjamin sehingga mencapai usia dewasa.
Seperti yang diketahui, sekolah-sekolah agama ini ditubuhkan bertujuan membantu masyarakat beragama Islam yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.
Menurut laporan media tempatan, modus operandi Herry Wirawan memperdayakan pelajar-pelajar dipercayai dilakukan dengan menawarkan biasiswa dan memberikan insentif kepada mereka terutamanya yang datang dari kawasan keluarga kurang berkemampuan.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.