Aksi Pak Nil Cabut Kasut, Kemunculan Kumpulan DOLLA Hangatkan Acara NEONATE

Share

 

Tirai acara fesyen terbesar Malaysia, Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2022 akhirnya berlabuh semalam dengan membariskan beberapa pertunjukan fesyen daripada jenama lokal terkenal.

Antaranya termasuklah Nurita Harith, Mimpi Kita, Super Sunday, Behati dan tentunya yang paling dinanti-nantikan pada petang semalam, NEONATE.

NEONATE yang diasaskan oleh Karl Shafeq dan Syahir Hamdan kembali untuk edisi 2022 dengan sekali lagi membawakan wajah-wajah ‘real people’ sebagai model-model di pentas peragaan demi menyelarikan pertunjukan tersebut dengan identiti streetwear

jenama itu sendiri yang dekat dengan hati remaja.

Istimewanya untuk koleksi yang diberi judul NEOSTALGIA ini, NEONATE turut membariskan beberapa nama-nama besar industri hiburan Malaysia sebagai model mereka.

Kemunculan empat ahli Dolla terdiri daripada Tabitha Ariel Lam Lianne (Tabby), Wan Sabrina Wan Rusli (Sabronzo), Noorsyasya Afiqah Shahrizal (Syasya) dan Angelina Chai Ka Ying (Angel) semalam telah menggamatkan ruang legar aras tanah Pavilion .

Masing-masing tampil persis model profesional dengan lenggok jalan yang menyakinkan.

Suasana bertambah hangat apabila pengacara terkenal, Datuk Aznil Haji Nawawi pula keluar ke pentas dalam persalinan kardigan kuning kebiruan dengan paten monogram terbaru NEONATE. Apa yang membuatkan momen bersama Aznil atau Pak Nil ini adalah apabila beliau mencabutkan but hitam berplatform yang disarungkan olehnya di tengah-tengah pentas peragaan sebelum meneruskan aksi.

Mungkin but tersebut tidak menyelesakan untuknya kot, tapi Pak Nil memang sempoi! No shoes, no problem.

NEONATE turut menjemput personaliti media sosial dan pelakon, Norreen Iman dan  supermodel Malaysia, Tengku Azura serta Tini bagi menyudahkan ‘final walk’ dengan diiringi Jalur Gemilang.

Sebagai info, koleksi NEOSTALGIA ini merupakan hasil kolaboratif NEONATE bersama Voltbar. Seperti namanya, koleksi ini membangkitkan semula rasa-rasa nostalgia dalam persalinan menerusi teknik fabrik crochet, warna-warna dan paten retro serta muzik yang dimainkan.

Terdahulu, NEONATE mengadakan sesi panggilan model atau model casting untuk mencari wajah-wajah baharu bagi acara KLFW ini dan ia dilaporkan berjaya menarik lebih 700 peserta yang mempunyai aspirasi bergelar seorang model.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ