Beauty with brains!
Inilah pepatah yang sesuai digambarkan kepada juara baru Femina Miss India 2022, Sini Shetty. Seiring dengan kemenangannya itu, dia sekaligus memegang takhta Miss World India 2022 dan bakal mewakili negaranya ke peringkat antarabangsa yang bakal diadakan penghujung tahun ini.
Dilahirkan di Mumbai, gadis berusia 22 tahun ini berasal dari Karnataka. Dia merupakan seorang gadis yang bersemangat tentang tarian dan mula berlatih seni tari pada usia empat tahun dan menamatkan Arangetramnya dalam tarian Bharatnatyam ketika berusia 14 tahun.
Dari segi pendidikan pula, Sini memulakan persekolahannya dari St. Dominic Savio Vidhyalaya di Ghatkopar, Mumbai. Selepas itu, dia meneruskan pengajiannya dan menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan kewangan dari S.K Somaiya Degree College of Arts, Science and Commerce di Ghatkopar, Mumbai. Kini, dia sedang mengikuti kursus untuk bergelar Penganalisis Kewangan Bertauliah (CFA).
Sebagai sebahagian daripada inisiatifnya untuk advokasi Femina Miss India 2022, gadis cantik ini mengumpul wang untuk kanak-kanak miskin yang tidak mampu mendapatkan rawatan kanser melalui Ketto India dan Yayasan Child Help.
ARTIKEL BERKAITAN: Baru Berusia 18 Tahun, Pelajar Jurusan Pemasaran Dinobat Miss World Puerto Rico 2022
Berpegang teguh pada kepercayaan, dedikasi dan kerja keras, Sini mengakui bahawa neneknya adalah orang yang banyak memberikan pengaruh positif di dalam kehidupannya. “Dia seorang yang mempunyai belas kasihan, nilai positif, intelek dan rasa hormat. Bimbingan dan ajarannya menjadikan saya seperti hari ini,” katanya.
Berjaya mengalahkan 30 peserta lain dalam majlis gilang gemilang itu, turut berada dalam lingkungan tiga terbaik bersama Sini adalah Rubal Shekhawat dari Rajasthan yang dinobatkan sebagai naib juara.Manakala Shinata Chauhan dari Uttar Pradesh dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga.
Setakat ini, India pernah memenangi pertandingan Miss World sebanyak enam kali. Antara figura popular yang membawa kemenangan kepada negara ini adalah Aishwarya Rai dan Priyanka Chopra, masing-masing bermupakan Miss World bagi tahun 1994 dan 2000.
Kali terakhir India menggondol gelaran ini adalah pada tahun 2017 menerusi perwakilan Manuchi Chillar yang merupakan seorang doktor. Tahun lalu, wakil India menerusi Manasa Varanasi berjaya berada dalam kelompok top 13.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Sumber: (1)