Aktif Muay Thai Antara ‘Rahsia’ Siti Nurhaliza Kekal Terlihat Jelita, Awet Muda

Share
Penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza, salah salah seorang figura seni yang memiliki bakat nyanyian yang cukup sempurna yang dikurniakan Ilahi.
Bukan sekadar cemerlang dalam arena hiburan tanah air dan antarabangsa, malah pelantun lagu Jerat Percintaan ini juga tampil berjaya sebagai seorang usahawan.
Ya, semestinya sebagai seorang wanita yang bekerjaya, jadual hariannya tentu padat bagi menguruskan kerjaya hakiki dan keluarga tercinta. Namun, pada masa sama harus juga menitik beratkan penjagaan kesihatan dan wajah agar kekal sihat dan sejahtera.
Sempat Remaja menemu bual penyanyi kelahiran negeri Pahang ini mengenai antara ‘rahsia’ rutin penjagaan wajah dan tubuh badan. Maklumlah, figura ini sentiasa kelihatan awet muda persis anak dara.
Kongsi Siti Nurhaliza yang lebih disapa Tokti, dia memaklumkan dirinya tidaklah terlalu obses dalam penjagaan, namun sudah tentunya dia akan menggunakan set produk keluarannya agar kekal sihat luaran dan dalaman.
Selain daripada produknya, penyanyi lagu hit Wajah Kekasih itu juga tidak terlepas peluang untuk melakuan aktiviti senaman di kediamannya sahaja seperti Muay Thai dan gimnasium.
“Saya tidaklah terlalu obses dalam penjagaan tetapi sebagai pengasas produk, saya berusaha menghasilkan produk terbaik dan akan menggunakannya.
“Set penjagaan kulit muka dan juga kosmetik tentunya dari SimplySiti dan untuk minuman kesihatan luaran dalaman dari BeauSiti. Saya juga melakukan senaman, Muay Thai atau di gimnasium di rumah juga,” tuturnya kepada Remaja.
Bagi aktiviti outdoor pula, selain berbasikal, legenda negara ini turut akan ke sauna dan melakukan urut badan jika mempunyai kelapangan waktu.
“Selain berbasikal, saya juga akan masuk ke sauna jika ada waktu dan melakukan urutan badan juga,” kongsinya lagi.
Bagi yang mengikuti ibu kepada dua cahaya mata itu di media sosial, pasti gemar dan tidak akan terlepas melihat celoteh Tokti jika selebriti kesayangannya itu melakukan sesi siaran langsung.
Ada kalanya penyanyi berusia 44 tahun itu melakukan sesi siaran langsung memasak, bersolek di dalam kereta dan sebagainya. Sempat juga Remaja bertanya mengenai perkara tersebut.
“Saya jarang ada waktu terluang dan saya gunakan waktu di dalam kereta untuk siaran langsung (live
). Memasak juga saya buat live sekali sekala.
“Ini adalah realiti kehidupan, saya mahu memberitahu peminat bahawa saya juga seperti mereka menjalani kehidupan seperti orang lain,” ujarnya lagi.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER FOTO: Instagram Siti Nurhaliza


Published by
Fath