Berbasikal adalah antara sukan yang kini menjadi trend bukan hanya kepada anak muda, malah oleh semua lapisan masyarakat tidak mengira umur.
Kalau korang perasan, sekarang ini ramai yang sudah mula menjinakkan diri dalam sukan berbasikal dan dah jadi seperti trend apabila masing-masing mempunyai grup konvoi mereka sendiri untuk turun melakukan aktiviti riadah ini.
Selain daripada beriadah, antara manfaat yang korang akan peroleh sekiranya melakukan aktiviti berbasikal adalah seperti meningkatkan kesihatan mental, menurunkan berat badan dan mengurangkan sakit jantung serta risiko kanser.
Namun, di sebalik manfaat itu semua terselit kebimbangan yang sememangnya perlu diberi perhatian sewajarnya iaitu masalah kebas.
Menerusi Public Health Malaysia, ia berpunca daripada tempat duduk basikal atau motosikal.
“Jika kita duduk di kerusi biasa, berat kita disebarkan pada kedua-dua punggung kita dan kerusi tidak akan menekan pada bahagian tengah punggung, yang dikenali sebagai perineum.
“Namun pada sesetengah basikal atau motor, tempat duduknya menirus dan memberikan tekanan pada bahagian perineum.
“Di bahagian inilah terletaknya saraf dan salur darah berhubung dengan bahagian zakar dan klitoris. Kecederaan saraf dan salur darah ini boleh menyebabkan mati pucuk samada pada jangka masa pendek mahupun panjang,” tulis Public Health Malaysia.
Jadi, apakah cara untuk mencegahnya? Berikut antara enam cara yang boleh dijadikan panduan buat orang ramai:
1. Pastikan basikal sesuai dengan ketinggian dan berat badan.
2. Pastikan tempat duduk selaras dengan ketinggian.
3. Elakkan badan ke hadapan semasa berbasikal.
4. Pilih padding yang lembut.
5. Jangan sesekali menghala tempat duduk ke atas.
6. Pilih tempat duduk yang lebar.
Bukanlah untuk menakutkan mereka yang sudah tertarik dengan aktiviti berbasikal ini, tapi perlu pastikan pentingnya aspek keselamatan bagi mengelak risiko kecederaan dan berlakunya kemalangan yang tak diingini.
Jadi. moga bermanfaat kepada semua!
Sumber : Public Health Malaysia