Aktiviti Berbasikal Di Lebuh Raya Boleh Didenda Hingga RM5000, Penjara 12 Bulan

Share

Ramai yang sudah sedia maklum tentang trend sukan berbasikal yang kini menjadi aktiviti bukan hanya para remaja, namun semua golongan turut melakukan sukan ini sebagai riadah.

Namun, banyak juga komen yang diberikan masyarakat apabila ada segelintir individu yang tidak bertanggungjawab bermain basikal di tempat yang tidak sepatutnya dan membahayakan nyawa.

Terbaharu, Polis Diraja Malaysia melarang sebarang aktiviti berbasikal di lebuh raya tanpa kebenaran pihaknya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, penunggang basikal yang melanggar undang-undang bole dikenakan tindakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

Foto: Munbaik Cycling Clothing (Gambar hiasan)

Tindakan akan diambil mengikut t Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu yang memperuntukkan hukuman denda RM1,000 hingga RM5,000 atau penjara sehingga 12 bulan.

Gagal mematuhi papan tanda lalu lintas yang melarang berbasikal di lebuh raya boleh menyebabkan individu itu dikenakan tindakan mengikut Seksyen 79(2) akta sama, manakala Seksyen 112(3) pula membolehkan basikal disita jika melakukan mana-mana kesalahan berbasikal.

Hal ini berbangkit semula apabila isu berbasikal ini kembali ‘panas’ di media sosial dengan memaparkan aksi penunggang basikal yang membahayakan diri dan pengguna jalan raya yang lain.

Foto: Yomex Owo (Gambar hiasan)

Selain itu, penunggang yang didapati tidak memasang lampu depan dan belakang pada basikal boleh dikenakan tindakan mengikut Kaedah 35 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 iaitu denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan.

Kaedah 42 yang membawa hukuman sama boleh dikenakan jika basikal tiada brek dan loceng sebagai ciri keselamatan serta menunggang secara berkumpulan iaitu tidak berada dalam satu deretan.

Pihak polis tidak menghalang aktiviti berbasikal, namun mereka harus mematuhi aspek keselamatan yang telah ditetapkan.

Jika tidak ada undang-undang ketat yang dilaksanakan, semakin ramai individu tidak bertanggungjawab ‘bermaharajalela’ di atas jalan raya sehingga mengancam nyawa mereka sendiri dan orang lain.

Betul tak?

Sumber: (1)

Published by
Noor Ain Norman