Pelakon yang popular dengan lakonan dalam drama Doctor Stranger, Lee Jong Suk dilaporkan kini bercinta dengan bekas ahli Hello Venus, Nara.
Memetik laporan Newsls, kedua-dua mereka bertemu ketika Nara masih lagi merupakan ahli Hello Venus dan bibit-bibit cinta mula berputik apabila Lee Jong Suk ingin idol itu menyertai agensinya, A Man Project.
Perkara tersebut disahkan oleh sumber dalam agensi tersebut.
“Ketua A Man Project adalah Lee Jong Suk dan dia bertanggungjawab menjaga semua aktiviti Kwon Nara. Setelah kontrak penyanyi itu bersama Fantagio tamat, dia (Lee Jong Suk) menghabiskan masa yang banyak untuk karier Nara,” katanya.
Dipercayai, kedua-dua mereka sering kelihatan pergi dating dan Nara juga sering mengunjungi kafe Lee Jong Suk iaitu 89 Mansion.
Kedua-dua mereka kelihatan serasi bersama dan difahamkan Lee Jong Suk juga merupakan peminat kepada Nara.
Walaupun kini pelakon drama Pinocchio itu kini sedang menjalankan khidmat tenteranya, namun Nara sering melawatnya.
Bagaimanapun, agensi pengurusan kedua-dua mereka iaitu A Man Project pantas mengeluarkan kenyataan menafikan perkara tersebut.
“Khabar angin itu adalah palsu! Untuk pengetahuan, Lee Jong Suk dan Nara hanya rapat sebagai senior dan junior sahaja,” kata kenyataan tersebut.