Ketika rata-rata pelakon Hollywood mengambil pendekatan berdiam diri terhadap pembunuhan beramai-ramai (genocide) yang sedang berlaku di bumi Palestin sekarang, Amrit Kaur yang merupakan aktres dari Kanada dengan lantang menggesa agar perbuatan itu dihentikan serta-merta.
Amrit, 31 berkata sedemikian ketika menerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik Filem Drama di acara Canadian Screen Awards (CSA) 2024 pada hujung minggu lalu; sekaligus menjadi antara selebriti Barat pertama yang menggunakan pentas berprestij sebagai medan melaungkan sokongan terhadap negara Palestin.
“Sekarang merupakan waktu menakutkan untuk menjadi seorang artis. Saya gentar. Saya gentar untuk bersuara. Akan tetapi, penghargaan yang saya terima ini mengingatkan saya bahawa saya merupakan seorang artis,” katanya setelah merima trofi daripada rakan pelakonnya, Hamza Haq.
“Untuk menjadi seorang artis, adalah tugas saya untuk menjiwai dan mempunyai empati. Dan kepada anda yang sering menyuruh artis untuk tidak bersuara kerana takut kehilangan pekerjaan, karier serta reputasi; anda sebenarnya menyuruh kami untuk tidak menjadi artis,” tegasnya.
Amrit mengakhiri ucapannya dengan membuat deklarasi solidariti terbuka buat Palestin dan rakyatnya.
“Saya ingin memberitahu anda semua bahawa saya seorang artis dan saya enggan berdiam diri lalu hidup dalam kebencian (terhadap) hak kemanusiaan. Lakukan genjatan senjata sekarang. Bebaskan Palestin,” laungnya.
Sewaktu ditemui rakan pemberita tidak lama selepas itu, Amrit memberitahu bahawa keinginannya untuk menang bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik Filem Drama itu bukanlah untuk menerima trofi berkenaan tetapi untuk mendapat peluang memberikan ucapan tersebut.
“Jika mulut saya ditutup, maka saya hanyalah patung. Itu adalah realitinya dan ia amat menakutkan terutamanya sebagai seseorang bukan berkulit putih yang telah lama ditindas dan diberitahu untuk tidak bersuara.”
“Kita takut terhadap kemungkinan akan kehilangan (kerjaya dan peluang) tetapi ini adalah mengenai kemanusiaan. Tentang nyawa manusia,” – Amrit Kaur
Terdahulu, lakonan Amrit Kaur sebagai wanita Pakistan dalam filem The Queen of My Dreams
arahan Fawzia Mirza menerima pujian daripada para juri setelah berjaya menjiwai perasaan rakyat negara itu yang berdepan penjajah satu ketika dahulu.Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.