Akui Mudah Percayakan Orang, Fazura Jadikan Kes Pecah Amanah Sebagai Pengajaran & Lebih Berhati-Hati

Share

“Mungkin saya terlalu mudah percaya dan bersangka baik pada orang, itulah silap saya. Tidak rasa menyesal untuk bersangka baik, tetapi pengajaran buat saya”

Itulah kata-kata yang ditutur pelakon dan usahawan terkenal, Nur Fazura mengenai isu pecah amanah yang berlaku dalam syarikat yang melibatkan perniagaan miliknya, baru-baru ini.

Pelakon filem popular Pisau Cukur itu bagaimanapun menganggap kejadian tersebut sebagai pengajaran buat dirinya untuk lebih berhati-hati pada masa akan datang.

Malah, perkara berkenaan sekali gus membuka matanya untuk tidak mudah mempercayai orang sekeliling termasuk kenalan terdekat.

ARTIKEL BERKAITAN: “Nawaitu, Senyum &…” Ini Rupanya ‘Rahsia’ Siti Nurhaliza Untuk Sentiasa Dimurahkan Rezeki

“Saya sangat sedih dengan apa yang berlaku dan berharap menjadi pengajaran buat saya untuk lebih berhati-hati dalam mempercayai orang serta sebagai teladan buat si pelaku juga menyesali dengan apa yang sudah dilakukan.

“Sejak kebelakangan ini, saya banyak mengalami situasi begitu (dikhianati) dengan pekerja dan kawan-kawan. Tidak boleh mempercayai sesiapa walaupun dia rapat dengan saya,” tuturnya ketika ditemu bual.

Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, isteri kepada aktor terkenal, Fattah Amin itu memaklumkan kes berkenaan telah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.

“Betul memang ada pecah amanah dan kes ini sangat-sangat berat dan melibatkan kakitangan sementara dan sejumlah wang yang banyak. Saya tidak ingin ulas panjang kerana hal ini masih menjadi siasatan pihak polis.

“Insya-Allah kita akan tahu lebih lanjut apabila mendapat kemas kini nanti. Apatah lagi isu ini bukan membabitkan satu kes saja sebaliknya melibatkan beberapa kes lain. Saya bukan ingin mengaibkan sesiapa, sebaliknya sudah melanggar undang-undang,” katanya lagi.

Terdahulu, pada Ogos tahun lalu, media melaporkan Fazura ada membuat satu laporan polis berkenaan isu pecah amanah terhadap syarikat miliknya.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER FOTO: Instagram Fazura 

Published by
Fath