Al Rihla ialah bola rasmi ke-14 yang dicipta khusus untuk Piala Dunia. Dalam bahasa Arab, Al Rihla bermaksud ‘sebuah perjalanan’.
Demam temasya bola sepak Piala Dunia FIFA 2022 telah pun bermula. Sejak hari pertama penganjuran Piala Dunia lagi, seluruh peminat bola sepak seluruh dunia mula berkampung di Qatar bagi menyaksikan pasukan kegemaran beraksi.
ARTIKEL BERKAITAN : Penyokong Jepun Tular Di Piala Dunia 2022, Kutip Sampah Sampai Stadium Bersih!
Kemeriahan ini ditambah pula dengan kemunculan Al Rihla, didakwa sebagai bola terpantas berbanding dalam Piala Dunia edisi sebelum ini, Adidas turut memberitahu Al Rihla mempunyai ketepatan terbaik.
Sebelum ini juga, Franziska Loeffelmann, pengarah Grafik Bola Sepak dan Pakaian di Adidas, menerangkan dengan lebih terperinci tentang kelebihan bola ini.
Jadi, ini ringkasan kelebihan bola rasmi Piala Dunia 2022!
1. Teknologi
Bola yang diberi nama Al Rihla ini merupakan perkataan Arab membawa maksud perjalanan (The Journey).
Al Rihla didatangkan dengan teknologi baharu dalam membantu mempermudahkan tugas para pengadil ketika perlawanan berlangsung.
Teknologi yang terdapat pada bola berkenaan akan disambung pada stadium untuk memberi amaran ofsaid pada masa nyata kepada pegawai perlawanan video menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Sistem offsaid separuh automatik itu diperkenalkan buat kali pertama pada Piala Dunia edisi kali ini di Qatar.
2. Seni
Merupakan bola ke-14 dibangunkan jenama Adidas untuk Piala Dunia FIFA. Seni rekaan pada bola berkenaan mendapat inspirasi daripada sentuhan budaya, gaya seni bina, bot ikonik dan bendera Qatar.
3. Bola terpantas
Al Rihla didakwa merupakan bola terpantas pernah dihasilkan dalam sejarah kejohanan Piala Dunia.
Ia dibangunkan untuk menyokong kelajuan permainan bola sepak moden dengan didatangkan dua ciri utama CRT-CORE dan SPEEDSHELL.
CRT-CORE bertindak memberi kelajuan, ketepatan dan konsistensi untuk permainan pantas di atas padang. Selain itu, ia juga memastikan ketepatan lantunan bola untuk memastikan para pemain dapat menunjukkan aksi terbaik.
SPEEDSHELL pula merupakan kulit sintetik PU didatangkan dengan bentuk panel 20 keping baharu dalam meningkatkan ketepatan rembatan dan kestabilan apabila berada di udara serta lencongan padu ketika rembatan.
4. Mesra alam
Al Rihla merupakan bola pertama Piala Dunia FIFA yang diperbuat secara eksklusif menggunakan dakwat dan gam berasaskan air.
Ia dikatakan bola paling mesra alam pernah dibangunkan untuk kejohanan berprestij tersebut.
5. Sumbangan
Sebanyak satu peratus daripada hasil jualan bersih bola Al Rihla akan disumbangkan kepada gerakan amal bola sepak, Common Goal.
Ia akan digunakan untuk memberi impak positif kepada masyarakat yang memerlukan di seluruh dunia.
Pada 2021, Adidas melancarkan perkongsian jangka panjang dengan Common Goal menjanjikan hasil penjualan bersih sebanyak satu peratus daripada semua produk bola jenama berkenaan dijual secara global disalurkan kepada gerakan amal itu.
Menariknya lagi, mengikut laporan bola sepak ini diperbuat di negara jiran kita, di Indonesia.
BACA : Acara Pembukaan Piala Dunia Dimulakan Bacaan Surah Al-Hujurat, Selit Mesej Keamanan
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.