Alami Microsleep, Pegawai Bomba Meninggal Selepas Motosikal Terbabas

Share

Perjalanan seorang anggota bomba berakhir tragedi apabila motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum terbabas dan jatuh di kanan jalan di Lebuhraya Utara Selatan di KM 98.7 (menuju ke Utara) berhampiran Plaza Tol Sungai Petani, Kedah.

Dalam kejadian malam tadi sekitar jam 9 malam, allahyarham Mohd Nor Faisal bin Ani, 38 tahun yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Bertam (dari pasukan B) dipercayai mengantuk sehingga motosikalnya hilang kawalan lalu terbabas sebelum meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal dari arah Plaza Tol Sungai Petani Utara ke arah Plaza Tol Gurun.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, mangsa dipercayai mengantuk dan hilang kawalan sebelum terbabas dan jatuh ke kanan jalan.

"Akibat kejadian itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati mangsa berasal dari Perlis dan bekerja di Butterworth.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Sumber: Harian Metro

Published by
Almaswa Haji Che Ros