Pelakon, model dan juara Dewi Remaja 2014/2015, Raysha Rizrose mengumumkan pertunangannnya dengan kekasih ‘highschool sweetheart’ yang juga merupakan pelumba kereta Formula 3, Nabil Jeffri.
Bersempena tarikh istimewa 14 Februari pada hari ini, pengumuman tersebut dilakukan menerusi hantaran di Instagram Raysha.
Majlis pertunangan tersebut sebenarnya diadakan pada 22 Disember 2022. Namun ia hanya didedahkan menerusi hantaran di media sosial bersempena tarikh Hari Kekasih, 14 Februari 2023.
Beberapa foto bersiri menampakkan Raysha disarungkan cincin pertunangan oleh bakal ibu mertuanya, Farisha Pawanteh di majlis yang dilangsungkan secara tertutup itu.
“Alhamdulillah, secAra rasminya saya sudah bertunang.”
Raysha cantik dalam persalinan baju kurung moden bersulam rona hijau pudar; sedondon dengan hiasan dekorasi pelamin pertunangan sebagai latarnya. Wajahnya dirias manis oleh Fiqqi Abdullah manakala rambut pula didandan kemas oleh Juno Ko.
Terdahulu sewaktu ditemui REMAJA di sebuah acara previu koleksi persalinan perkahwinan di ibu negara pada akhir tahun lalu, Raysha memberi gambaran bahawa dia akan menamatkan zaman bujangnya tidak lama lagi bersama Nabil setelah mereka melalui kisah percintaan yang cukup lama sejak berada di bangku sekolah menengah lagi.
ARTIKEL BERKAITAN: Setia 10 Tahun Bercinta Sejak Bangku Sekolah, Raysha Rizrose Rasakan ‘Detik Sudah Sampai’ – REMAJA
FOTO: Instagram Raysha Rizrose
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.