Filem Ali & Ratu-Ratu Queens telah pun ditayangkan di saluran Netflix pada 17 Jun lalu dan rata-rata penonton memberi pujian terhadap naskhah terbaru pelakon utama Dilan, Iqbal Ramadan yang memegang watak utama sebagai Ali.
Ali & Ratu-Ratu Queens mengisahkan tentang seorang kanak-kanak yang bernama Ali (Iqbal Ramadan) ditinggalkan ibunya (Marissa Anita sebagai Mia) yang mengejar cita-cita ingin menjadi seorang penyanyi di kota New York. Semenjak daripada pemergian ibunya itu, Mia tidak lagi pernah pulang ke Indonesia.
Disebabkan itu, apabila meningkat dewasa Ali bernekad untuk ke New York mencari ibunya dan disitu juga dia berjumpa dengan empat orang wanita Indonesia yang dibintangi oleh Nirina Zubir, Tika Panggabean, Asri Welas dan Happy Salma untuk membantu Ali menemukan semula ibunya itu.
Secara keseluruhan, filem ini sangat sesuai ditonton oleh seisi keluarga kerana ia menceritakan kisah keluarga, bagaimana si ibu dan anak yang bertemu kembali selepas berpisah selama bertahun lamanya. Jalan ceritanya yang straight to the point memudahkan penonton untuk menghayati filem ini tanpa perlu banyak berfikir.
Tambah pelakonnya lagi, Iqbal turut menjelaskan bahawa Ali & Ratu-Ratu Queens bakal membuatkan penonton sedar dan menghargai momen-momen bersama keluarga ketika waktu pandemik ini kerana sesungguhnya kita amat merindui suasana bersama orang tersayang yang kini masih lagi tidak boleh berjumpa disebabkan oleh sekatan yang dilaksanakan.
Penonton juga bakal dibawa ‘terbang’ jauh ke kota New York dan kami pasti selepas menonton filem ini, korang juga akan rasa teringin untuk melancong ke bandar besar itu. Bagi yang pernah ke sana, mereka juga pastinya merindui saat-saat manis ketika berada di New York dan timbul rasa rindu untuk pergi melancong kembali, lebih-lebih lagi sudah beberapa tahun tidak dibenarkan keluar negara.
Selain daripada mengetengahkan tema anak beranak antara Ali dan Mia, filem ini juga memaparkan sifat orang Asia yang sangat membantu lebih-lebih lagi ketika berada di perantauan. Tante Party, Biyah, Ance dan Chinta tidak sampai hati melihat Ali yang sebatang kara di New York dan sedia memberi bantuan serta menyediakan penginapan sepanjang Ali berada di sana.
Macam korang pergi melancong ke luar negara, kalau jumpa rakyat Malaysia yang tinggal di sana, mesti mereka melayani korang dengan ramah kan? Hiks!
Namun, disebalik kisah bahagia mereka di kota New York, terdapat babak-babak emosi yang mampu membuatkan penonton mengalirkan air mata.
Ha, kalau nak tahu kenalah tonton sendiri kan?
Saksikan kesudahan Ali & Ratu-Ratu Queens di saluran Netflix sekarang. Selamat menonton!