Alicia Amin bukanlah nama asing dalam industri fesyen negara. Sejak penglibatan dalam program realiti peragaan, Asia’s Next Top Model (AsNTM) musim kelima, Alicia semakin melebarkan sayapnya sebagai di antara model pilihan pereka fesyen serta jenama fesyen besar di Malaysia.
Sempena acara Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2022 yang kini sedang berlangsung selama lima hari, tentunya Alicia dijangka bakal membuat kemunculan di pentas peragaan mega di Pavilion Kuala Lumpur.
Well, she did show up. Begitupun, kemunculan Alicia di sana pada hari kedua, Khamis lalu telah menaikkan ‘suhu’ di lokasi rasmi itu dek protes yang dilakukannya di hadapan pintu utama Pavilion.
ARTIKEL BERKAITAN : Pernah Terfikir Untuk Tamatkan Hayat, Followers Alicia Amin Beri Kata Semangat di Instagram
Protes yang dilakukan oleh Alicia ini bertitik-tolak daripada luahan para model pada minggu lalu berkenaan isu kelewatan bayaran model di KLFW selama sembilan tahun ia dilangsungkan.
Lalu, pemilik nama penuh Raja Alicia Raja Amin ini mengambil keputusan berani dengan membawa placard bagi memastikan isu kelewatan bayaran ini tidak lagi berulang pada edisi ulang tahun kesepuluh KLFW kali ini.
Placard tersebut berbunyi, “Semua model pada tahun ini harus dibayar pada hari acara.
“Kepada mereka yang masih menunggu bayaran daripada pihak Andrew untuk tahun-tahun sebelum ini, jumpa dan bercakap dengan saya.”
Kemunculan Alicia dengan placard itu juga sempat dirakam dan dimuat naik oleh pengguna @yelamango di platform TikTok.
Khabarnya, ramai model-model tempatan yang pernah terlibat untuk KLFW berdepan isu kelewatan mendapatkan bayaran masing-masing. Ada juga mendakwa mereka pernah terlibat untuk KLFW sejak tahun pertama ia dilangsungkan. Maknanya, ada yang terpaksa redha bekerja ‘secara percuma’ sajalah sebelum ini?
Difahamkan juga, majoriti model masih tidak dapat bayaran daripada acara-acara yang dikendalikan oleh KLFW serta masih menunggu bayaran yang tertangguh sejak beberapa tahun yang lepas.
Dek kerana tindakan Alicia ini, model dan pelakon berusia 27 tahun itu dihentikan dan dia sendiri dihalau oleh pihak pengawal daripada terus melakukan protes.
Perkara itu dikongsikan oleh Alicia menerusi hantaran di Instagram Story yang menunjukkan dirinya didatangi pengawal serta polis bantuan.
“Sudah pasti kena halau, tapi kita lakukan apa yang termampu.
“Model-model KLFW pada tahun ini, beritahu saya jika bayaran tidak dimasukkan ke bank akaun anda dalam masa 24 jam selepas pertunjukkan fesyen,” katanya.
Tambah Alicia lagi, protes ini bukannya saja-saja dilakukan olehnya tetapi ia demi menegakkan hak seorang model. Dia sendiri akuinya sudah penat perlu melalui perkara sebegini sepanjang bergelar seoran model selama 12 tahun.
Terdahulu, Alicia menerusi satu temubual bersama Sinar Daily pernah membangkitkan isu pembayaran KLFW di mana dia mendedahkan masih ramai model tempatan yang belum mendapat bayaran mereka.
Alicia juga berkongsi pernah bertindak mengugut untuk menyaman pihak penganjur pada tahun 2013 selepas dia tidak menerima bayarannya selama lebih setahun. Akibatnya, mereka tidak mahu bekerjasama dengan Alicia lagi sehinggalah dia semakin dikenali pada tahun 2019.
Acara KLFW 2022 sedang berlangsung bermula dari 17 Ogos hingga 21 Ogos di Pavilion Kuala Lumpur. Bukan sahaja orang ramai tertarik untuk melihat setiap busana yang diperagakan, malah ramai juga tertarik dengan stail hadirin yang dijemput sebagai penonton di sana.
BACA LAGI: ‘Wanita’ Berpakaian Menjolok Mata Di KFW22 Jadi Perhatian, Netizen Ingatkan London Fashion Week
Foto : Instagram Alicia Amin
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.