Usahawan dan selebriti media sosial, Datuk Seri Aliff Syukri, memberi sokongan kepada aktres dan usahawan popular, Nur Fazura yang baru-baru ini menerima kritikan mengenai nyanyiannya.
Penyanyi lagu Abang Nak Tegur itu tampil memuji bakat nyanyian Fazura dan percaya bahawa suara pelakon itu mempunyai keunikan dan daya tarikan tersendiri.
Menerusi hantaran di Instagram, Aliff memberi pujian kepada pelakon filem popular Gol & Gincu itu selain mencadangkan agar mereka berduet bersama. Menurutnya lagi, kolaborasi nyanyian antara mereka pasti akan mendapat sambutan yang hebat.
ARTIKEL BERKAITAN: Aliff Syukri Letak ‘Rate’ Minimum RM15 Ribu Untuk Terima Sebarang Tawaran Menyanyi
“Okey, boleh tahanlah suara awak sedap sangat, Fazura. Jom kita berduet. Saya rasa kalau awak berduet dengan saya, bakat awak lebih terserlah. Kita akan meletup bersama,” tulis Aliff dalam hantaran tersebut.
Dalam pada itu, Aliff turut yakin bahawa duet mereka berdua akan membawa kejayaan besar, bukan hanya di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia. Selain itu, Aliff menganggap suara Fazura sangat unik dan sedap didengar.
“Jom Fazura, awak memang sesuai berduet dengan saya. Awak akan terkenal, bukan di Malaysia malah di serata dunia. Jom kita tunjukkan bakat kita bersama-sama,” ujarnya lagi.
ARTIKEL BERKAITAN: “Minta Maaf, Jadi Abah Yang Jahat, Garang & Serba Kekurangan…” -Aliff Syukri
“Syabas, suara awak unik dan sedap. Bagi saya, suara itu adalah universal. Sedap sahaja saya dengar. InsyaAllah Fazura boleh pergi jauh,” tambahnya.
Sebelum ini, Fazura mendapat pelbagai reaksi apabila menyanyikan lagu terbarunya, Bertahan Demi Cinta, di sebuah program bual bicara di Indonesia.
Rata-rata komen yang diterima adalah kritikan, dengan beberapa pihak mencadangkan agar Fazura menghadiri kelas vokal untuk memperbaiki teknik nyanyiannya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Instagram Aliff Syukri