Benar kata sebahagian orang, kanak-kanak tiada dosa dan malaikat sentiasa menjaga mereka. Terbukti Allah taala menunjukkan kebesarannya apabila pasukan petugas menjumpai seorang kanak-kanak lelaki dalam keadaan selamat biar pun lebih 12 jam terperangkap dalam sisi runtuhan akibat tsunami.
Dipercayai kanak-kanak bernasib baik ini bernama Ali dan berusia 5 tahun. Ali ditemui keseorangan di dalam kereta dan ketika pihak polis menarik sisa kayu dan runtuhan dari kereta berkenaan di bawah sebatang pokok yang tumbang di atasnya, Ali terus menangis dan memeluk erat pegawai yang menyelamatkannya.
“Dirinya seperti ketakutan dan hanya mampu menangis. Tiada individu dewasa ditemui bersamanya,” kata pegawai yang menemui kanak-kanak ini.
Setakat hari ini, pihak berkuasa Indonesia mengesahkan 280 nyawa terkorban dengan 843 orang cedera dan ratusan lain masih hilang seperti dilaporkan Mirror.co.uk.
Tsunami yang melanda Selat Sunda dua hari lalu mencatatkan sejarah bagi Indonesia kerana tiada amaran gempa dikeluarkan.
Malah sekumpulan saintis hari ini mengesahkan tsunami yang terjadi di Pulau Jawa ini berpunca daripada gelinciran lereng di bahagian selatan Gunung Berapi Anak Krakatau ke dalam laut iaitu beberapa minit sebelum bencana teruk ini terjadi.
Imej satelit yang berjaya dirakam oleh satelit Sentinel-1, milik Agensi Angkasa Eropah menunjukkan terdapat runtuhan besar pada lereng di selatan gunung berapi itu ke dalam laut. Lantas ia mencetuskan tsunami di Laut Sunda sehingga membawa kepada banyak nyawa terkorban dan kemusnahan harta benda.
Menurut sejarah bagi negara Indonesia, pada 27 Ogos 1883, empat letusan besar berlaku di Gunung Berapi Krakatoa dan telah mengakibatkan empat tsunami berbeza sehingga melebihi 100 kaki tingginya. Mayat dijumpai bergelimpangan dan jumlah kematian mencecah 36,000 orang.
ARTIKEL BERKAITAN : Seperti Tahu Ajal Makin Hampir, Bani Seventeen Perbanyak Ibadah Di Saat Akhir Hidupnya
Baca juga : 6 Fakta Gempa Di Sulawesi, Kenapa Amaran Tsunami Tak Berfungsi Ketika Kejadian?
Tsunami dan Indonesia ibarat isi dan kuku. Baru saja terduga dengan gempa bumi berskala ritcher 7.4 sehingga mengakibatkan tsunami di Kota Palu dan Donggala, Sulawesi Tengah, negara ini terus teruji dengan tsunami di Banten. Angka kematian bagi kejadian yang berlaku September lalu lebih dari 1200 orang dengan kemusnahan melampau kerana banyak kampung terlipat di dalam tanah akibat likuifaksi (gelinciran tanah membawa lumpur dan akan menggulung apa saja di dalamnya).
Mari bersama-sama doakan saudara kita di Indonesia dilindungi Allah taala dan diselamatkan dari segala bencana. Al-Fatihah buat yang terkorban dalam tragedi ini.