Berita pemergian ulama Al-Azhar tersohor dunia, Prof Yusuf al-Qaradawi pada usia 96 tahun semalam amat dirasai oleh masyarakat dunia.
Allahyarham yang dilahirkan pada 9 September 1926 telahpun menghembuskan nafas terakhirnya di Qatar yang menjadi tempat tinggalnya dalam buangan susulan penggulingan tentera kerajaan pimpinan Ikhwanul Muslimin di Mesir pada tahun 2013.
Pada usia lima tahun, Allahyarham sudahpun belajar menghafal kitab suci Al-Quran bersama pakciknya sebelum terus menghafaz sepenuhnya dengan fasih pada usia 10 tahun.
Beliau yang menamatkan pendidikan di Maahad Thantha dan Maahad Tsanawi kemudiannya melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar dalam bidang Usuluddin. Seterusnya beliau terus meneruskan pengajian dalam jurusan Pentafsiran Hadis serta menulis disertasi tentang Fiqh Az-Zakat.
Ulama yang dikenali sebagai sorang Mujjadid pada zaman ini pernah mengecapi populariti di peringkat antarabangsa setelah beliau muncul dalam program Sharia and Life yang diterbitkan oleh saluran berita, Al-Jazeera.
Sepanjang hayatnya pula, Allahyarham pernah menghasilkan lebih 120 buah buku termasuklah naskah perundangan Islam serta menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Antaranya termasuklah penganugerahan sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa pada tahun 2009 oleh kerajaan Malaysia.
Jika korang masih ingat, Allahyarham juga selalu diundang ke Malaysia satu ketika dahulu sewaktu era 90-an di mana cendekiawan tersebut sentiasa menyeru kepada aliran Wasatiyyah dan menentang keras aliran Ghuluw dan Mutaa’ssibin.
Kongsi Pengerusi Pakatan Harapan iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di Facebook, beliau secara peribadi merasai kehilangan Allahyarham di atas sumbangan serta legasi yang ditinggalkan olehnya.
“Shaikh Yusuf Al-Qaradhawi adalah sahabat dan tokoh rujukan saya sejak zaman mahasiswa ketika memimpin gerakan Islam.
“Saya juga sering mengundangnya ke Malaysia sewaktu menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri. Doa dan surat yang seing diutus tatkala dalam kesulitan begitu mengesankan dan memperteguh semangat dan idealisme saya dalam perjuangan,” catatnya.
Biarpun terkenal dengan khutbah-khutbah ‘berani’ sehingga beliau pernah dilarang daripada menjadi khatib di sebuah masjid, Allahyarham Prof Yusuf Al-Qaradhawi akan sentiasa dikenang sebagai salah seorang pendukung nilai serta ilmu Islam yang tiada tolok bandingannya.
Al-Fatihah.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
”.