Alumni Convent Bukit Nanas Bersatu Hati Ingin Selamatkan Tapak Sekolah

Share

 

Kurang lima bulan tinggal sebelum tarikh luput pajakan tanah Sekolah Menengah Convent Bukit Nanas (CBN) tamat.

Namun sehingga kini, pembaharuan perjanjian pajakan tersebut masih belum diluluskan oleh Jabatan Tanah dan Galian dan mereka perlu menunggu pendengaran semula pada 4 Mei ini.

Justeru sejak Isnin lalu, para pelajar CBN, guru, ibu bapa dan para alumni tampil meluahkan kegusaran mereka berhubung masa depan sekolah yang pernah melakar sejarah selama 122 tahun itu.

Sumber Foto : Facebook CBN & halaman petisyen Change.org.

Obviously, CBN telah melahirkan ramai alumni wanita yang berjaya dan memberikan khidmat penting kepada negara sepanjang penubuhannya. Para pelajar bukan setakat melangkah keluar dari sana serba bijak tetapi juga mempunyai jati diri yang tegar. Jasa CBN dalam memartabatkan sistem pendidikan negara khususnya buat pelajar di Kuala Lumpur tidak boleh dipertikaikan.

Dari sudut nilai sejarah bangunan institusi tersebut, seandainya CBN dirobohkan seperti yang pernah berlaku kepada Bukit Bintang Girls School yang memberi ruang kepada pembangunan pusat membeli-belah Pavilion sebelum ini, tentunya Kuala Lumpur sekali lagi akan ‘berduka’ akibat kehilangan sebuah lagi institusi bersejarah.

Sehingga kini, sebuah bentuk petisyen bertajuk ‘Save SMK Convent Bukit Nanas’ telah dimulakan di laman web change.org untuk mendapatkan pembaharuan pajakan buat sekolah itu.

 

Alumni Tampil Pertahankan CBN

Menerusi akaun media sosial masing-masing, beberapa nama besar alumni Sekolah Convent Bukit Nanas tampil menghulurkan sokongan mereka terhadap petisyen tersebut.

Pelakon, Vanidah Imran mempersoalkan mengapa lesen pajakan tanah itu tidak diperbaharui sedangkan CBN mempunyai surat sokongan daripada Kementerian Pendidikan.

“Pihak mana yang tamak sangat mahukan tanah itu? Bangunan ikonik Penjara Pudu telah dirobohkan untuk dijadikan lokasi komersil mewah. (Tapak) Tasputra Perkim (1987) milik Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj kini dibina sekolah antarabangsa.

“Bagaimana kita boleh ubah naratif negara ini untuk menjadi lebih inklusif dan berbangga dengan identiti sejarah, budaya dan warisan?” catat Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia 2007 itu.

Sumber Foto : The Malaysia Life

Menerusi hantaran Vanidah Imran di Instagram itu juga, seorang lagi alumni CBN iaitu artis versatil, Adibah Noor turut menyokong petisyen yang diwujudkan.

“Orang lain gigih pertahankan bangunan dan tanah bersejarah. Lagipun ada hutan simpan di atas sana tapi sesetengah pihak tidak kisah tentangnya.”

Bekas personaliti program 3R dan penggiat seni, Low Ngai Yuen juga berharap nasib yang pernah menimpa sekolah St Mary’s yang dirobohkan suatu masa dahulu harus dijadikan sebagai pengajaran tentang bagaimana kita seharusnya memelihara aset bersejarah negara.

Sumber Foto : Magzter

Sumber Foto : Instagram Low Ngai Yuen.

Beberapa personaliti lain yang merupakan alumni CBN juga tampil ke hadapan demi mempertahankan CBN termasuklah Tan Sri Rafidah Aziz, Profesor Moi Meng Ling, Datuk Ambida Sreenevasan, Hanna Alkaf, koresponden TV3 Haliza Hashim Doyle dan ramai lagi.

Untuk menandatangani petisyen dan membantu pemeliharaan tapak serta bangunan institusi Convent Bukit Nanas, korang boleh melakukannya DI SINI

.

Dalam perkembangan lain, sebelum ini timbul ura-ura mengenai penjualan bekas kediaman Perdana Menteri Malaysia yang pertama di Pulau Tikus.

ARTIKEL BERKAITAN : Bekas Kediaman Tunku Abdul Rahman Hendak Dijual Pada Harga RM62 Juta – REMAJA

Published by
FZ