
‘Che Sayang Kitchen’ diumumkan sebagai pemenang kategori Creator of the Year di TikTok Awards Malaysia 2024 yang berlangsung baru-baru ini.
ARTIKEL BERKAITAN : Khairul Aming & Sofyank Bergabung, Sebar Kesedaran Isu Palestin

Malah, Anugerah Creator of the Year ini turut disampaikan oleh Khairul Aming kepada Che Sayang Kitchen, yang berjaya menewaskan beberapa pempengaruh terkenal lain seperti Ryan Bakery, Sofyank, Shi Qi, Daddy Hood dan Sofea Shra yang dicalonkan bagi kategori sama.
Tapi siapakah sebenarnya lelaki di sebalik nama Che Sayang Kitchen yang terkenal dengan siri video masakan “2 Minit 1 Resepi” itu?
Abdul Qayyum Halid, yang lebih dikenali sebagai Che Sayang, merupakan alumni Universiti Teknologi PETRONAS (UTP). Beliau mula mendapat perhatian apabila aktif berkongsi video-video bertemakan masakan di TikTok.
Mulakan Perniagaan
Beliau memulakan perniagaan sambilan pada tahun 2013, ketika menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Pada tahun 2014, beliau menerima tawaran melanjutkan pengajian ke universiti. Atas nasihat bapanya, beliau berhenti berniaga sambilan dan menumpukan perhatian kepada pengajiannya di UTP.
Zaman Universiti
Semasa di universiti, Abdul Qayyum, yang kini berusia 28 tahun, mencuba pelbagai jenis perniagaan, antaranya menjual roti RM1 pada tahun 2015, KamiDelivery pada tahun 2016, dan Solvypro pada tahun 2017, namun kesemuanya menemui kegagalan.
Kerjaya sebagai jurutera di sebuah syarikat minyak dan gas
Pada tahun 2018, beliau bergraduasi dengan ijazah kelas pertama serta menerima Anugerah Pelajar Terbaik dan Anugerah Canselor Emas. Selepas tamat pengajian, beliau memulakan kerjaya sebagai jurutera di sebuah syarikat minyak dan gas pada tahun 2019, namun minatnya dalam bidang perniagaan tidak pernah pudar.
Pada tahun 2020, beliau mencuba nasib sekali lagi dalam bidang perniagaan bersama adik-adiknya dengan menjalankan perniagaan Choco Flakes, dan pada tahun 2023, beliau bersama keluarganya mengasaskan perniagaan acar ikan masin Che Sayang. Namun, kedua-dua perniagaan tersebut gagal.
Tidak berputus asa
Walaupun mengalami kegagalan, Abdul Qayyum tidak berputus asa. Pada 2 Mac 2023, beliau memulakan langkah baharu dengan memuat naik video masakan pertamanya di TikTok melalui akaun Che Sayang Kitchen. Video tersebut pada asalnya tidak bertujuan untuk berniaga, tetapi untuk memberi manfaat kepada orang lain. Tidak disangka-sangka, akaun tersebut semakin dikenali dan kini mempunyai lebih daripada 2 juta pengikut.

Ramai generasi muda kini bercita-cita untuk menjadi content creator, namun ada yang terpengaruh dengan pemikiran yang salah seperti “pendidikan tidak penting” atau “bad marketing is good marketing”, yang boleh merosakkan minda generasi muda. Pendidikan dan ilmu pengetahuan tetap memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan.
Content creator berdepan dengan pelbagai cabaran, termasuk tekanan untuk menghasilkan kandungan yang bukan sahaja menarik tetapi juga bermanfaat. Meskipun ada yang beranggapan platform seperti TikTok hanya untuk hiburan, ia juga telah menjadi medium utama dalam penyampaian maklumat, termasuk dalam bidang agama. Oleh itu, content creator perlu bertanggungjawab untuk menerapkan nilai-nilai positif dalam setiap kandungan yang mereka hasilkan.
Tahniah buat ‘Che Sayang Kitchen’, suka lihat content masakan dia yang simple tapi menjadi!
BACA: Berjaya Cipta Sejarah, Ratu Cantik Malaysia Dinobat Juara Miss Globe 2023
Sumber : Nad Masrom via TikTok
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Kali Ini Betul-Betul Ada Pandan! Cadbury Muncul Perisa Khas Sempena Merdeka

Semua tahu, perisa pandan adalah antara perisa yang cukup dekat di hati rakyat Malaysia.
Selagi boleh ditambah rasa pandan ke dalam juadah terutamanya melibatkan kuih-muih tradisional, kita tentu akan melakukannya. Hanya beberapa hari lalu, tular sebentar mengenai perisa pandan yang kononnya ada pada packaging jenama tertentu. Namun sedar-sedar, ia hanyalah roti biasa saja sehingga menimbulkan perkongsian kelakar di media sosial.
ARTIKEL BERKAITAN : Ramai ‘Terkena’ Dengan Roti Baharu Perisa Pandan, Sekali Beli Rupa-Rupanya.. – REMAJA
Bagaimanapun kali ini berbeza. Pemanis mulut yang ingin REMAJA kongsikan ini benar-benar mempunyai rasa pandan dalamnya!
Khas sempena sambuna Bulan Kemerdekaan dan sambutan Hari Merdeka pada minggu hadapan, Cadbury Malaysia telah memperkenalkan pilihan Cadbury Dairy Milk baharu dalam perisa Pandan Kelapa. Ia menggabungkan keenakan unik coklat susu berkrim kegemaran korang dengan keharuman daun pandan dan kelapa.

Sekali buka kertas pembungkusnya saja, korang sudah dapat menghidu sesuatu yang berlainan pada keluaran coklat Cadbury kali ini.
Tambah menarik, Cadbury Malaysia ingin mengambil semangat perpaduan rakyat Malaysia dengan melancarkan satu inisiatif sempena keluaran Cadbury Dairy Milk Pandan Coconut kali ini. Mereka ingin membantu para pemilik perniagaan kecil terutamanya yang memiliki gerai kuih menerusi kempen #MYCadburyFlavours.
Apa yang rakyat Malaysia perlu lakukan adalah berkongsi gambar gerai kuih atau penjaja kuih kegemaran mereka di media sosial dan meletakkan tanda pagar #MYCadburyFlavours dan tag-kan @Cadbury_MY. Sertakan sekali pin lokasi atau masukkan nama serta lokasi gerai tersebut ke dalam kapsyen foto.
Secara tidak langsung, lebih ramai orang yang akan tahu tentang kewujudan gerai-gerai menarik yang boleh mereka kunjungi.
Apapun, jangan lepaskan peluang untuk mencuba Cadbury Dairy Milk Pandan Coconut ini ya!
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Pelajar IPT Pulang Kampus Bermula 15 Oktober, Yuran Dikurangkan 20% – KPT

Keputusan pembukaan semula kampus kepada warga Institut Pengajian Tinggi (IPT) termasuk pelajar dan pegawainya telah diumumkan sebentar tadi oleh Menteri Pengajian Tinggi, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Ini setelah mengambil kira sesi libat urus bersama-sama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pengurusan Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang terdiri daripada Naib-Naib Canselor, Timbalan-Timbalan Naib Canselor dan wakil-wakil persatuan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) serta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

“Sukacita saya mengumumkan bahawa Kementerian Pengajian Tinggi akan melaksanakan kemasukan pelajar secara fizikal ke kampus secara berperingkat seperti mana yang diluluskan oleh MKN.
“Proses ini akan dijalankan bermula 15 Oktober 2021. Kemasukan pelajar yang lengkap divaksin di IPT ini melibatkan semua kategori pelajar dan semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) di mana keutamaan diberikan kepada pelajar berkeperluan,” jelasnya.
Kemasukan semula ke kampus ini hanyalah bagi warga IPT (termasuk pelajar, staf akademik dan staf bukan akademik) yang telah mendapat dua dos suntikan vaksin lengkap dan TELAH melepasi tempoh keberkesanan selepas divaksin.
Bagaimana pula dengan pelajar yang tidak boleh divaksin atas faktor kesihatan?
“Mereka diminta untuk menghubungi IPT masing-masing untuk penyelarasan,” katanya. Harus diingat juga ya, proses kemasukan semula ini masih tertakluk kepada kapasiti IPT demi mematuhi SOP yang ditetapkan.
Ia akan menggunakan SOP sektor pengajian tinggi dan pengoperasian IPT demi mewujudkan persekitaran Fasa 4 PPN di dalam kampus. Ini terutamanya bagi proses keluar-masuk kampus.
*
Dapatkan Vaksinasi Lengkap
Berita baik bagi pelajar yang masih belum divaksin.
Korang akan diberikan kemudahan mendapatkan vaksinasi lengkap sebelum kampus dibuka menerusi inisiatif VACC2Campus yang dilakukan oleh KPT dengan kerjasama Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF). Ia dijangka keseluruhan warga IPT (pelajar dan kakitangan) yang layak akan 100 peratus mendapat dos lengkap selewat-lewatnya pada akhir Oktober 2021.
Kini, warga IPT boleh mendapatkan vaksin secara ‘walk-in’ di Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) dengan membawa kad pengenalan dan kad pelajar/kad pekerja. Bagi pelajar baharu, korang diminta membawa surat tawaran ke IPT tersebut dan kad pengenalan atau pasport.
*
Cara Pergerakan Pulang Ke Kampus
Timbul juga persoalan mengenai pergerakan besar apabila pelajar sudah dibenarkan pulang ke kampus nanti. Jangan risau, kemasukan akan dilakukan secara berperingkat dari tarikh 15 Oktober mengikut jadual yang ditentukan oleh IPT sendiri mengikut kalendar pendidikan.

Untuk pergerakan masuk, pelajar diberikan beberapa pilihan pergerakan iaitu :
1. Menggunakan kenderaan sendiri
2. Dihantar oleh ibu bapa atau penjaga yang telah lengkap 2 dos vaksin
3. Menggunakan pengangkutan udara
4. Menggunakan kenderaan mengikut kapasiti (seperti teksi dan servis e-hailing) di mana pemandu dan penumpang telah lengkap 2 dos vaksin
Bagi pelajar yang akan ke IPT di Semenanjung Malaysia, mereka hanya perlu membawa surat kebenaran kembali ke kampus yang dikeluarkan oleh IPT.
Bagi pelajar yang akan ke IPT di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pula, mereka perlu membawa surat kebenaran kembali ke kampus yang dikeluarkan oleh IPT dan surat kebenaran rentas daerah atau negeri daripada PDRM.
Mereka juga tertakluk kepada SOP yang dikuatkuasakan kerajaan negeri seperti perlaksanaan kuarantin dan ujian Swab RT-PCR. KPT mengambil kira kos ujian ini, lalu ia akan diberikan secara percuma kepada warga IPT tersebut di klinik-klinik kesihatan kerajaan.

Pelajar antarabangsa juga tidak terkecuali daripada dibenarkan masuk; asalkan mereka terdiri daripada tiga kategori berikut :
1. Warganegara United Kingdom (UK)
2. Pelajar antarabangsa yang mengikuti program Mobiliti dan Edutourism
3. Tanggungan yang sah bagi pelajar antarabangsa yang ingin membawa keluarga bersama ke negara ini.
Itupun, mereka perlu berdaftar dengan pihak Education Malaysia Global Services (EMGS) sebelum dibenarkan masuk ke Malaysia oleh Jabatan Imigresen Malaysia. Mereka juga perlulah menjalani ujian Swab RT-PCR sebelum ke sini dan menjalani saringan kesihatan serta kuarantin di lokasi yang ditetapkan sebaik saja tiba di Malaysia.
*
Langkah Berhati-Hati
Dalam pada itu, aktiviti melibatkan kerja berkumpulan di makmal, bengkel, studio dan penyelidikan akan dibenarkan berpandukan SOP.

REMAJA tahu akan ada ramai pihak yang masih risau dengan risiko penularan wabak COVID-19 di kampus. Justeru, KPT menetapkan supaya setiap IPT menyediakan pusat pengasingan di IPT masing-masing bagi menguruskan kes-kes bergejala atau jangkitan.
Tambah beliau, pihak IPT juga digalakkan untuk memberikan kit ujian kendiri COVID-19 kepada pelajar yang telah kembali ke kampus.
*
Pengurangan Yuran
Tiba ke pengumuman paling dinanti-nantikan pelajar IPT di seluruh negara apabila Dr Noraini mengesahkan pengurangan yuran sebanyak 20 peratus kepada semua pelajar warganegara di Universiti Awam bagi Semester 1 sesi 2021/2022.
Ia dijangka akan memanfaatkan seramai 555,340 orang pelajar dengan nilai RM175 juta di bawah inisiatif KPT Prihatin. KPT juga akan memberikan program berkaitan kesihatan mental dan perkhidmatan kaunseling bagi warga IPT yang memerlukannya.

REMAJA berharap agar kemasukan semula warga IPT ke kampus ini akan berjalan lancar. Bagi korang yang mempunyai pertanyaan bolehlah menghubungi pegawai penyelaras di IPT masing-masing di samping menyemak laman web KPT.
Korang juga boleh menghubungi bilik gerakan COVID-19 KPT di talian yang beroperasi selama 24 jam. (03-8870 6777 / 6949 / 6623 / 6628)
Ikuti pengumuman penuh Menteri Pengajian Tinggi, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad di bawah :
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Pelajar Cemerlang SPM 9A Yatim Piatu Terima Tawaran Ke Universiti Jordan

Pelajar cemerlang SPM 9A yatim piatu terima tawaran ke Universiti Jordan, kisah ini bukan hanya menyentuh hati, malah membakar semangat seluruh remaja Malaysia untuk terus melangkah walau diuji hebat oleh takdir.
Itulah perjalanan luar biasa Muhammad Haziq Hakimi Afzal, 18, anak tunggal dari Rembau, Negeri Sembilan. Dalam usia muda, beliau sudah kehilangan kedua-dua ibu bapa. Namun semangatnya yang kental membuktikan bahawa ujian hidup bukan alasan untuk berputus asa.
Sebatang Kara, Tetapi Tidak Pernah Kalah
Haziq kehilangan ayah yang bekerja sebagai pengawal keselamatan akibat penyakit kaki gajah ketika beliau baru berusia sembilan tahun. Namun dugaan terbesar tiba pada 24 Julai tahun lalu beberapa minggu menjelang peperiksaan percubaan SPM apabila ibunya pula menghembuskan nafas terakhir akibat komplikasi jantung.
“Emak satu-satunya insan yang saya ada. Bila dia pergi, saya rasa hilang arah. Tapi pesanan terakhir emak supaya saya belajar bersungguh-sungguh terus saya pegang,” kata Haziq penuh emosi ketika ditemui di rumah peninggalan arwah ibunya di Taman Pedas Perdana.
Ibunya hanyalah seorang pekerja pembersihan di sekolah, namun beliau amat menekankan kepentingan pendidikan dan tidak pernah jemu memberi galakan kepada anak tunggalnya untuk berjaya dalam pelajaran.

Keputusan Cemerlang & Tawaran Ke Jordan
Berbekalkan pesanan itu, Haziq bangkit mengharungi kesedihan dan akhirnya mencatat kejayaan luar biasa memperoleh 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kejayaan itu membuka jalan lebih luas apabila beliau menerima tawaran melanjutkan pengajian dalam bidang Pengajian Islam di Universiti Jordan.
“Saya sangat bersyukur kerana impian untuk menyambung pengajian di luar negara akhirnya tercapai. Saya mahu buktikan bahawa anak yatim juga mampu berjaya,” ujar Haziq yang dijadual memulakan kursus persediaan Bahasa Arab pada Oktober ini sebelum berlepas ke Jordan.
Berusaha Sendiri Untuk Teruskan Hidup
Selepas kehilangan ibu, Haziq menumpang kasih di rumah bapa saudaranya di Chengkau bagi meneruskan persekolahan. Kini selepas tamat SPM, beliau kembali ke rumah arwah ibunya dan berusaha menyara diri.
Buat masa ini, beliau bekerja sebagai guru ganti bagi Kelas Agama Fardu Ain (KAFA) dan turut memberi kelas tuisyen untuk menambah pendapatan. Dalam diam, Haziq juga aktif menulis cerpen dan puisi yang dihantar ke Dewan Bahasa dan Pustaka — membuktikan minatnya dalam bidang kesusasteraan.
“Duit pencen penakat arwah emak dari PERKESO memang banyak membantu. Tapi saya tetap berusaha berdikari, cari pendapatan sendiri,” katanya yang tidak mahu terlalu bergantung kepada orang lain.
Inspirasi Buat Generasi Remaja
Kisah Haziq adalah gambaran jelas bahawa semangat dan usaha mampu mengatasi kekurangan. Beliau bukan sahaja membuktikan kebolehan akademik, malah menjadi contoh teladan kepada remaja lain bahawa latar belakang bukan penentu masa depan.
Majalah Remaja percaya, kisah pelajar cemerlang SPM 9A yatim piatu ini yang menerima tawaran ke Universiti Jordan perlu dijadikan inspirasi. Semoga kejayaannya terus membuka jalan untuk lebih ramai anak muda bangkit mengubah nasib diri dan keluarga, walau dari titik paling perit.
Tahniah, Haziq. Teruskan melangkah jauh. Malaysia menantikan insan sekuatmu.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

