Alyssa Azmi Terkenang Dewi Remaja Duduk Serumah, Ini Pula Responnya Duduki Tempat Ke-4

Share

Kelibat gadis tinggi lampai ini di malam kemuncak pencarian Dewi Remaja 2022, hujung minggu lalu telah menjadi perhatian ramai.

Disebut-sebut sebagai salah seorang peserta akhir yang mampu memberikan kejutan bagi memenangi gelaran juara pada malam tersebut, Alyssa Azmi yang kelihatan cukup anggun dalam busana serba merah rekaan Arma Couture telahpun menawan hati penonton di lokasi dengan keyakinannya dalam menjawab soalan yang diberikan.

Namun kongsi Alyssa yang juga pulang sebagai pemenang tempat keempat, sebaik memasuki pusingan kedua mindanya sedikit terganggu sebelum muncul kembali di atas pentas bagi segmen Soal Jawab.

Haa, kenapa agaknya tu Alyssa?

“Pertama sekali, sejak awal pencarian lagi saya sudah setkan di kepala yang saya tidak bertanding dengan mana-mana orang. Saya hanya bertanding dengan diri saya to force myself melakukan semua cabaran yang diberikan.

“Berlainan dengan sesetengah peserta, saya bermula dari kosong tanpa sebarang pengalaman. Saya cumalah seorang siswi universiti yang ingin mencuba sesuatu di luar zon selamat.

“Hingga ke pentas akhir pun, saya masih tidak meletakkan saingan saya dalam kalangan sembilan orang rakan lain dan sedikit sebanyak, mindset itu membantu saya untuk kekal tenang.

“Cuma apabila memasuki segmen Soal Jawab, saya yang pada masa itu belum bersedia dengan gaun, anting-anting pun tak sempat pakai tiba-tiba diletakkan pada kedudukan peserta pertama yang harus muncul di atas pentas.

”Bee perlu menerima rawatan terlebih dahulu dan sebagai rakan, saya tidak kisah dan bersedia to go first. Cuma keadaan agak mencemaskan dengan persediaan di belakang pentas sehinggakan saya kurang bersedia dalam merangka ayat ketika menjawab soalan yang diajukan oleh Pak Nil.

“Itulah namanya ketentuan, kita merancang Tuhan menentukan. Saya cukup gembira dapat menamatkan perjalanan Dewi Remaja 2022 saya di kedudukan keempat terbaik.

“Cuma saya terkilan sedikit dengan persembahan diri sendiri bila tidak dapat peragakan busana Arma Couture sebaik yang saya inginkan (kerana bahagian belakang busana tidak sempat dirapikan dalam masa yang diberi) dan jawapan saya boleh diberi dengan lebih teratur,” ulas gadis berusia 19 tahun ini.

Tambah Alyssa lagi, dia turut berbangga dengan persembahan rakan-rakan peserta lain seperti Janani, Rasyiqah, Zafira, Auni dan Dina yang juga telah memberikan yang terbaik biarpun bukan rezeki mereka untuk ke pusingan seterusnya.

 

“This Is A Good Start”

Selang beberapa hari selepas malam kemuncak Dewi Remaja 2022, Alyssa berkongsi mengenai uji bakat sebagai hos program hiburan baharu yang bakal dijalaninya bersama beberapa lagi finalis lain.

Alyssa pada pusingan pertama perlu menghuraikan kata kunci yang diterima olehnya.

Yes this is a good start. Apabila saya memenangi cabaran episod keempat untuk segmen pengacaraan, saya telahpun memperolehi tajuk program yang sama! Mentor kami pada waktu itu, Keanu Azman berkata pengacaraan saya bagus cuma perlu lebih relaks dan santai lagi. That is what I am going to do dan InsyaAllah jika ada rezeki, siapa tahu saya boleh terpilih?” katanya.

Alyssa juga mengakui dirinya tidak sabar untuk bertemu semula rakan finalis lain pada minggu ini kerana tidak berkesempatan untuk mengucapkan selamat tinggal sebaik sahaja pentas akhir Dewi Remaja 2022 melabuhkan tirai, Sabtu lalu.

Selain bergelar pemenang tempat keempat, Alyssa juga menggondol kategori penaja bersama Dewi Kinohimitsu Activ.

“Momen paling saya rindukan adalah bila dapat bersama rakan-rakan saya yang lain. Bersama enam rakan serumah saya termasuklah Tracie, Malle, Bee, Reezlyn, Dina dan Keeran, kami sudah diibaratkan seperti sisters. Makan bersama, menangis bersama. Dengan rakan lain seperti Auni, Zafira dan beberapa lagi yang tidak menetap sebumbung pun, saya sudah terbiasa lepak bersama mereka.

“Jadi, peluang ‘reunion’ mini ini saya amat nanti-nantikan. Bila tidak duduk serumah lagi memang terasa kehilangan,” katanya.

Usai tamat pencarian, Alyssa kini bakal meneruskan pengajiannya di Universiti Multimedia mengenangkan kontrak tajaan biasiwa TM yang dipegangnya masih berbaki dua tahun. Perancangan itu bagaimanapun tidak menghalang minatnya untuk menceburi bidang modelling dan iklan komersil sebagai pekerjaan separuh masa demi menyerlahkan keyakinan dan potensinya dalam industri seni hiburan serta fesyen tempatan.

Congratulations Alyssa Azmi!

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ