Isu depresi bukan sesuatu isu baru di kalangan masyarakat dunia. Hari demi hari, semakin banyak kes mendukacitakan dilaporkan khususnya kes bunuh diri akibat menanggung tekanan dalam hidup.
Dengan situasi pandemik yang melanda dunia hari ini, ramai terkesan dek kerana kehilangan pekerjaan dan mengalami masalah kewangan.
Sekiranya korang adalah di antara insan yang terkesan dan sedang mengalami gejala-gejala depresi, cuba amalkan superfood yang satu ini.
Kajian yang dipetik daripada Bold Sky menunjukkan gejala kemurungan atau gangguan kesihatan mental boleh berkurangan jika kita mengambil sejumlah nutrien seperti karbohidrat, protein, omega 3, vitamin B, kalsium dan zink yang selalunya terdapat dalam buah-buahan dan sayur-sayuran.
Salah satu buah yang berkesan dan mempunyai kandungan tersebut adalah avocado. Ia diakui berkesan untuk memperbaiki mood seseorang lalu menjamin kesihatan mental yang lebih baik. Walau harganya sedikit mahal, tidak salah jika kita berbelanja agar kesihatan kita terjaga. Betul tak?
Avocado atau nama saintifiknya, Persea Americana Mill boleh dikategorikan sebagai makanan superfood kerana ia kaya dengan pelbagai nutrisi untuk kesihatan badan.
Selain mengandungi hampir 20 mineral dan vitamin seperti B6, C, E, K, dan folat, avocado juga mengandungi tryptophan dan asid lemak pada omega-3.
Omega-3 ini ialah asid lemak yang penting membantu mengatur neurotransmitter dan mengelakkan keradangan di otak. Manakala, tryptophan adalah pendahulu serotonin yang merupakan hormon baik. Serotonin ini akan menstabilkan mood dan mewujudkan perasaan bahagia.
Asid lemak juga membantu menyeimbangkan tahap hormon di dalam badan dan menjadikan pemikiran bebas kemurungan.
Selain Avocado, korang juga boleh amalkan beberapa makanan lain :
- Ikan : Beberapa spesies ikan seperti mackarel, salmon, tuna dan sardin adalah sumber kepada lemak terbaik omega 3 yang memainkan peranan penting kepada fungsi otak. Satu kajian dalam Journal of Epidemiology dan Kesihatan Masyarakat mendapati pengambilan lebih banyak ikan boleh mengurangkan kemurungan.
- Kunyit : Bahan aktif dalam kunyit mempunyai sifat anti-radang dan antioksidan yang kuat. Satu kajian oleh Jurnal Persatuan Pengarah Perubatan Amerika menunjukkan kunyit berkesan untuk mengurangkan gejala kemurungan.
- Madu : Madu boleh berfungsi sebagai makanan tambahan untuk mengekalkan kecergasan fizikal dan juga bermanfaat untuk kesihatan mental.
- Coklat : Makanan kegemaran ramai orang ini boleh menenangkan perasaan terutamanya coklat gelap. Ini kerana bahan psikoaktif dan phenylethylamine dalam coklat mencetuskan perasaan gembira.
- Makanan fermentasi: Ini termasuklah yogurt, kimchi, tempe, miso, tauhu, jeruk dan kombucha juga merupakan sumber probiotik untuk meningkatkan mood. Probiotik bertanggungjawab menghasilkan neurotransmitter yang baik untuk mengekalkan bakteria usus yang baik.
Mungkin ramai yang memandang remeh tentang depresi semasa pandemik kerana mereka tidak mengalaminya. Tapi ingat, tekanan perasaan boleh ‘datang’ semasa kita tidak menjangkakannya.
Jangan sesekali korang lupakan makanan superfood ini. Ia pasti dapat meningkatkan kualiti tidur dan menjamin mood yang lebih baik ketika bangun.