Pasti ramai yang masih ingat kisah Cikgu Nazmi Rosli yang tular di media sosial sekitar Mac lalu.
Pengobanannya meredah sungai dan masuk ke hutan tebal untuk menyampaikan kertas soalan kepada 111 orang murid SK Long Sukang, sebuah sekolah yang terletak di pendalaman Lawas, Sarawak ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac lalu memberikan satu pengalaman sukar dilupakan.
Jika ramai netizen memberikan komen negetif termasuk mengatakan ramai cikgu makan gaji buta tetapi dari usaha kecil dilakukannya Allah memberikan impak paling besar dalam kerjayanya apabila nama sekolahnya sering dijadikan contoh dan begitu banyak bantuan hadir tanpa dirinya menduga.
Kata Cikgu Nazmi, selepas habis PKP dan sesi persekolahan dimulakan Ogos lalu, begitu banyak Pertubuhan Bukan Kerajaan (Ngo) datang memberikan bantuan mengajar untuk pelajar menjadi lebih kreatif. Malah ada guru-guru lain yang mengajar di kawasan pendalaman lain menghantar ucapan tahniah kepadanya kerana berjaya memotivasikan mereka untuk terus mendidik anak bangsa tanpa mengira lelah.
Dalam satu perkongsian di dokufilem Malaysia vs Covid-19 #KitaJagaKita, yang bakal ditayangkan esok iaitu pada 12 September 2020 di Astro Ria, AEC, Vinmeen HD, Hello dan Astro Awani, kisah pengorbanan Cikgu Nazmi yang diangkat sebagai hero antara sebahagian individu dipaparkan dalam dokumentari yang mampu mengangkat semangat perpaduan dan harapan seluruh rakyat Malaysia menentang COVID-19.
Mengimbau kembali kisah pengorbanannya hingga tular, kata Cikgu Nazmi idea membantu pelajar sekolahnya agar tidak tercicir ketika PKP dilaksanakan, bermula apabila ada guru dari sekolah lain yang meminta dirinya mencetak kertas soalan untuk diagihkan kepada murid-murid mereka.
“Saya ketika itu ada di rumah keluarga di Lawas. Ada cikgu sekolah lain minta saya cetak kertas soalan untuk murid sekolahnya di bandar kami. Dari situ, saya dapat idea kenapa tidak saya cetak soalan untuk diberi kepada semua murid kami?
“Saya berbincang dengan semua rakan guru baik yang ada di Semenanjung mahu pun di kampung masing-masing. Semua bersetuju untuk beri soalan dan saya akan cetakkan. Tapi untuk dapat semua itu tak mudah. Terlalu banyak perlu saya lalui. Ada tak setuju termasuk kata COVID-19 akan merebak sedangkan kawasan kampung bersih dari wabak ini. Ini termasuk perlu dapat persetujuan dari PPD, Guru Besar, Tok Batin dan ramai lagi pihak. Mungkin ramai yang fikir, ala budak-budak pendalaman. Tak sekolah pun tak apa. Kalau ajar pun bukan semua masuk tapi saya mahu ubah mind set ini kerana semua kanak-kanak berhak mendapat pendidikan sempurna baik duduk di bandar mahu pun di kawasan pendalaman. Sebab itulah saya berusaha agar murid sekolah saya mengajar tidak tercicir di sebalik pandemik yang melanda dunia ini.
“Alhamdulillah, Allah memudahkan urusan saya ketika itu dimana saya perlu jalani prosedur ketat. Saya disyaratkan perlu mandi sebelum dan selepas keluar dari kawasan kampung yang sama masuki. Mesti cuci tangan, pakai topeng dan macam-macam lagi. Saya juga perlu upah pengangkutan yang bukan murah harganya. Inilah pengorbanan saya ketika itu,”katanya,
Dalam pada itu kata Cikgu Nazmi, selain berhadapan dengan karenah pentadbiran, dia juga menghadapi kesukaran untuk mencari rumah seramai 111 orang pelajar sekolah SK Long Sukang.
“Selama ini mereka tinggal di asrama sekolah. Semua berkumpul di situ.Saya tak tahu pun rumah mereka. Tapi cabaran meredah sungai, masuk ke hutan tebal mencari rumah semua murid-murid ini memberikan saya satu pengalaman tak mampu saya lupakan.
“Ketika itu saya mendapat bantuan dari ketua kampung yang membantu tunjukkan jalan. Saya sendiri mengambil masa beberapa hari mencari semua rumah murid. Cabaran ini berterusan minggu ke minggu. Macam-macam yang saya tempuh. Ketika bulan puasa, ada kalanya saya berbuka tepi sungai saja. Ibu bapa pelajar yang bekerja sebagai petani, pembalak, pemburu dan mengutip hasil hutan sentiasa bekalkan saya dengan makanan dan minuman. Kata mereka untuk bekal saya berbuka nanti. Walau mereka bukan beragama Islam tapi semuanya baik membantu.
“Buat saya lebih bersemangat, pelajar berlari mengejar saya bila nampak saya datang. Mereka beritahu sedih sebab tak dapat pergi sekolah sebab COVID-19. Kebanyakan mereka membantu keluarga di kebun dan sebagainya. Tapi dari tak tahu di mana murid tinggal, akhirnya saya tahu semua rumah murid sekolah kami,”katanya memaklumkan di kawasan pendalaman itu bekalan elektrik dicatu.
“Telefon bimbit saya hanya boleh digunakan untuk alarm. Tak ada line internet pun.Bekalan elektrik dicatu. Dari jam 6.00petang sampai 11.30 malam saja sebelum ditutup. Bekalan air juga sama. Pendek kata, kehidupan kami hanya bermain dengan alam. Jadi bila dapat ke sekolah, murid banyak membantu keluarga masing-masing,”katanya yang kelihatan sebak ketika berkongsi momen tersebut.
Seperti kata Cikgu Nazmi, Allah sentiasa memudahkan urusan hamba-hambaNya.
“Alhamdulillah usaha kecil saya itu membuahkan hasil besar untuk seluruh warga pendidik yang mendedikasikan masa mereka khususnya yang mengajar di pendalaman. Ramai guru-guru di kawasan pendalaman menghantar ucapan buat saya dan kata mereka terima kasih kerana menjadi inspirasi mereka. Ada yang hantar pakai bot, pakai posmen, buat pandu lalu dan sebagainya. Ia juga menutup mulut netizen cikgu makan gaji buta. Sekolah saya sering disebut dan dijadikan contoh oleh kementerian atas usaha yang kami buat. Lebih membanggakan kami guru-guru di SK Long Sukang seramai 12 orang yang dipanggil mengajar semula sebelum pelajar memulakan sesi persekolahan sama-sama membantu menghantar ke rumah pelajar. Kalau dulu saya buat seorang ambil masa berhari-hari tapi kerja itu jadi sehari saja.
“ Apa yang saya lakukan ini cuma sedikit. Dengan keterbatasan kelengkapan, masalah bekalan elektrik dengan dengan bantuan Ngo yang menghantar bekalan belajar, pelajar semakin bersemangat untuk bersekolah.
“Mungkin di peringkat sekolah rendah tak nampak usaha kami tapi ia peringkat awal pendidikan. Walau orang kata kami guru hadapi kesukaran termasuk kena redah perjalanan empat jam setengah, pernah rambut memutih sebab debu di musim panas, mengharungi selut bila hujan lebat dan pernah bermalam di dalam hutan di laluan balak kerana kereta rosak tapi saya bersyukur kerana menjadi seorang guru. Ini hanya sebahagian pergorbanan saya untuk mendidik anak bangsa,”katanya ketika temuramah dilakukan di rumah ibunya di pekan Lawas.
Apa pun, rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama, berganding bahu menentang musuh senyap, Covid-19. Walaupun menghadapi pelbagai kesukaran dan tragedi, semangat perpaduan dan harapan menjadi inspirasi mereka.
Jangan lupa saksikan dokufilem "Malaysia vs. Covid-19: #KitaJagaKita" esok 12 Sep 2020 di Astro Ria, AEC, Vinmeen HD, Hello dan Astro Awani.